Home Politik Pas tak berpecah, semua setia dengan presiden – Mohd Khairuddin

Pas tak berpecah, semua setia dengan presiden – Mohd Khairuddin

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sacked from PAS Secretary Syura Ulama Council Committee Member Central
Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali

PUTRAJAYA – Tiada perpecahan dalam Pas dan tidak ada usaha menyingkirkan presiden parti.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, partinya mempunyai kehebatan daripada segi tarbiahnya.

Ini kerana kata beliau, kesemua ahli parti itu wala (setia) terhadap presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tidak ada perpecahan dalam menguruskan parti dan Insya Allah kita bergerak cergas…untuk kita bergerak pada PRU akan datang Insya Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu-Kayan 2021 di sini hari ini.

Mohd Khairuddin menjawab pertanyaan wartawan yang ingin tahu desas desus mengenai kewujudan dua kumpulan iaitu ‘geng publika’ yang dikatakan kumpulan pro-Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan ‘geng ustaz’ yang memihak kepada UMNO dan dikatakan cuba menyingkirkan Abdul Hadi.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, khabar-khabar angin bukan berita-berita yang patut disebarkan oleh media.

Sebaliknya ujar beliau, media lebih elok untuk memberikan fokus terhadap apa yang dilaksanakan oleh kerajan ketika ini.

“Kerajaan PN gagah dan Insya Allah Pas akan terus bersama dengan PN (Perikatan Nasional) untuk membuat yang terbaik buat rakyat,” ujar beliau yang merupakan Menteri Perusahaan Perladngan dan Komoditi.

Dalam pada itu mengulas mengenai strategi memantapkan parti sama ada kaedah menggunakan media sosial sebagai platform utama Pas menyalurkan maklumat sebagaimana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli partinya berbuat demikian semalam, Mohd Khairuddin berkata, perkara itu memang sudah dipraktikan Pas sejak awal lagi.

Katanya, langkah itu sangat penting dan ia turut dilakukan oleh PN kerana ia merupakan medium paling pantas untuk setiap orang berkomunikasi antara satu sama lain. – MalaysiaGazette