SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam menggesa pihak polis menyiasat sebarang campur tangan politik dalam penerbitan buku Sejarah Tingkatan 4 semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Ketuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, ia susulan penerbitan buku teks itu diselit dengan penulisan yang mengagungkan fahaman serta perjuangan komunis di negara ini.
“Saya mendapati terdapat fakta-fakta yang dimanipulasi dan wujudnya usaha untuk mendoktrin secara halus elemen-elemen dan perjuangan komunis di dalamnya.
“Polis perlu menyiasat jika terdapat campur tangan politik khususnya daripada kerajaan PH di mana penulisan buku teks ini dipercayai bermula selepas Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM ini diperakui sah pada 24 April 2018.
“Ia pula telah diperakui dan diterbit sewaktu pemerintahan Kerajaan PH pada 2019 (cetakan pertama),” katanya pada sidang media, di luar Balai Polis Seksyen 6, di sini, hari ini.
Terdahulu Mohd Dendera bersama beberapa pemimpin badan bukan kerajaan membuat laporan polis berhubung buku Sejarah Tingkatan 4 didakwa menyerapkan fahaman dan perjuangan komunis di negara ini.
Dalam pada itu, Mohd Dendera juga memandang serius pendedahan Timbalan Pengerusi Sekretariat NGO Menolak Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 (BST4), Datuk Yazid Othman bahawa wujud campur tangan bekas Timbalan Menteri Kerajaan PH di dalam penerbitan buku tersebut.
“Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap golongan yang ingin menyeleweng minda pelajar dan saya percaya langkah ini secara tidak langsung dapat menyekat sebarang usaha untuk mengangkat golongan-golongan radikal dalam pemikiran anak muda di dalam negara.
“Pada masa yang sama, ia seolah-olah melemahkan usaha dan perjuangan anggota keselamatan negara sebelum ini.
“Setiap pengisian di dalam buku teks sejarah ini penting dalam kita mencorak identiti, jatidiri dan akal budi bangsa yang bakal menjadi pewaris negara,” katanya.
Katanya lagi, pengedaran buku teks itu perlu dihentikan serta-merta dan ditarik balik daripada pelajar bagi memastikan unsur asing itu tidak menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini.
“Saya percaya tindakan oleh individu atau golongan ini terdapat unsur-unsur hasutan yang boleh membawa kepada ketidakharmonian di dalam negara.
“Ia sekaligus mampu memecahbelahkan hubungan baik serta perpaduan antara kaum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette