Home Nasional Suami ragut mangsa, isteri jual kepada ejen

Suami ragut mangsa, isteri jual kepada ejen

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai Foto FIKRI YAZID 2 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Sindiket jenayah ragut, Geng Adi Bee yang aktif beroperasi di Lembah Klang diketuai oleh sepasang suami isteri.

Mereka bergiat secara berkumpulan sejak tahun 2019 itu akhirnya dihidu dan ditumpaskan polis menerusi Op Rentap pada 17 Februari lalu.

Suspek suami isteri itu dikenali dengan nama Adi dan Bee yang mana suami berperanan mengetuai operasi ragut jalanan di kawasan perumahan dan perindustrian yang menjadi sasaran mereka.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan, polis berjaya menahan pasangan suami isteri itu bersama tiga lagi lelaki disyaki ahli sindiket yang sama.

Kesemuanya berusia 24 hingga 35 tahun.

“Suami isteri Adi dan Bee itu berusia 28 dan 24 tahun yang mana suami akan mencari mangsa dan meragut manakala isterinya akan menjual barangan itu kepada pembeli tetap iaitu suspek ketiga yang berperanan sebagai ejen membeli barangan curi.

“Selepas itu, ejen berkenaan akan menjual kepada pembeli di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Eng Lai, hasil tangkapan polis berjaya merampas tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua pasang cermin mata, lima utas jam tangan, lima bentuk cicin, sepasang anting-anting, seutas gelang tangan, seutas rantai leher bersama loket dan juga wang tunai RM10,111 bersama satu motosikal Yamaha LC 135 yang digunakan pasangan itu untuk melakukan jenayah ragut.

Tambah beliau, kesemua barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM15,000 dan kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

Menurut beliau, hasil siasatan juga mendapati mereka licik melakukan kegiatan ragut jalanan.

“Mereka akan menjual hasil ragut itu kepada kedai yang ada rangkaian dengan mereka sebelum berkongsi wang sesama mereka.

“Polis yakin dengan tertangkapnya lima penjenayah itu, kami berjaya menyelesaikan 11 kes ragut di sekitar Kepong dan Lembah Klang,” tegasnya.-MalaysiaGazette