Home Dunia 38 mati pada hari ‘paling berdarah’ dalam krisis Myanmar

38 mati pada hari ‘paling berdarah’ dalam krisis Myanmar

Penunjuk perasaan melarikan diri selepas pihak polis melepaskan gas pemedih mata ketika demonstrasi pro-demokrasi di Mandalay, Myanmar, semalam. foto agens

YANGON – Sekurang-kurangnya 38 orang mati pada hari paling berdarah dalam krisis di Myanmar, semalam.

Kerajaan Myanmar bergelut dalam krisis sejak 1 Februari lalu apabila pihak tentera  menyingkirkan dan menahan Aung San Suu Kyi.

Rampasan kuasa oleh tentera itu sekali gus mengakhiri percubaan sedekad negara itu untuk beralih kepada sistem demokrasi sehingga mencetuskan tunjuk perasaan secara besar-besaran.

Tekanan antarabangsa semakin meningkat apabila kuasa Barat berulang kali mengenakan sekatan ke atas para ketua tentera Myanmar dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diadakan pada Jumaat lalu.

Namun, pihak junta setakat ini tidak mengendahkan kecaman global, malah menangani tunjuk perasaan dengan lebih keras.

Sementara itu, utusan PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener berkata, semalam sahaja 38 orang mati dan ramai lagi yang cedera.

“Hari ini adalah hari paling berdarah sejak rampasan kuasa berlaku,” katanya, tanpa memberikan keterangan lebih lanjut, termasuk butiran kematian.

Beliau menyeru PBB supaya mengambil tindakan sangat tegas terhadap para jeneral tentera sambil menambah,mereka telah menepis ancaman sekatan.

Sebelum ini, PBB telah mencatat sekurang-kurangnya 17 kematian di Myanmar pada kelmarin, termasuk tujuh kematian di Monywa iaitu di daerah Sagaing. – MalaysiaGazette