Home Utama Bersatu anggap keputusan UMNO ‘minta cerai’ beri implikasi besar

Bersatu anggap keputusan UMNO ‘minta cerai’ beri implikasi besar

IMBAS KEMBALI. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) berbincang sesuatu bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum menuju ke istana negara bagi membuat perjumpaan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah pada tahun lepas di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL.

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendirian keputusan UMNO yang mahu ‘minta cerai’ menjelang PRU-15i memberi implikasi besar terhadap kerjasama antara kedua-dua parti itu pada masa hadapan.

Justeru Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, partinya memandang serius surat pemakluman UMNO yang diserahkan kepada presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Berhubung surat yang dihantar oleh Presiden UMNO bertarikh 26 Februari 2021, Bersatu memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama di masa hadapan antara UMNO, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Itu antara keputusan daripada hasil mesyuarat Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu selama dua jam dipengerusikan Muhyiddin di sini petang tadi.

Menurut Hamzah, mesyuarat yang sama turut memutuskan untuk Bersatu fokus terhadap usaha memperkasakan gerak kerja bersama rakan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan bagi berhadapan dengan pilihan raya yang akan datang.

Tambah Hamzah, Bersatu berpendirian kepimpinan Muhyiddin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Bersatu juga mengucapkan terima kasih kepada parti politik yang setia mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN selama setahun.

“Dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, Kerajaan PN telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Bersatu petang tadi bermesyuarat selama lebih dua jam bagi membincangkan keputusan UMNO baru-baru yang ini yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya yang akan datang.

Keputusan UMNO kemudiannya diterjemahkan menerusi surat pemakluman yang diserahkan kepada Muhyiddin.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ada keputusan, tunggu kenyataan SUA Bersatu – Muhyiddin

3 Komen

  1. Well tak payah nak terkejut laaa..UMNO BN dah bgtau awal2 dah dari mula, kerjasama sehingga PRU jaa..tak kan tak faham2 kot

  2. Kata Pengarah Pilihan Raya Umno “Umno telah berkorban menyokong pembentukan kerajaan PN walaupun tidak memegang jawatan perdana menteri”. Nmpak sangat Ada org Gila kuasa.

Comments are closed.