
PUTRAJAYA – Kadar kematian disebabkan Covid-19 dalam kalangan penghuni rumah perlindungan warga emas didapati agak tinggi berbanding kadar kematian kebangsaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, ketika ini, kadar kematian dalam kalangan golongan rentan itu sebanyak 1.48 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.
Manakala kadar kematian kebangsaan adalah pada paras 0.38, katanya.
“Sehingga kini, seramai 610 penghuni di rumah perlindungan warga emas sudah dijangkiti Covid-19, membabitkan seramai 583 rakyat tempatan atau 95.6 peratus dan 27 bukan warganegara (4.4 peratus).
“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 21 kluster jangkitan membabitkan rumah perlindungan warga emas, dua daripadanya pada gelombang kedua dan 19 lagi pada gelombang ketiga,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Noor Hisham, ketika ini, 15 kluster masih lagi aktif manakala enam daripadanya sudah tamat dan jumlah keseluruhan mereka yang disaring dari rumah perlindungan warga emas adalah sebanyak 1,840. – MalaysiaGazette