Home Nasional Majikan kena sedia penginapan pekerja ikut Akta 446

Majikan kena sedia penginapan pekerja ikut Akta 446

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Che Awang membuat pemantauan melaksanakan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Akta 342 di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 04 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Para majikan diingatkan supaya menyediakan penginapan pekerja yang sesuai mengikut Akta Standard Minimum Perumahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas, kata Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur (JTKKL), Che Mohd Rokman Che Awang.

Menurutnya, beberapa faktor dalam penyediaan penginapan pekerja yang perlu dititikberatkan termasuk kelengkapan asas untuk keselesaan, keselamatan dan kebersihan.

“Penetapan jumlah pekerja bagi penginapan jenis dormitori yang disediakan majikan pula bergantung kepada nisbah keluasan bilik kepada jumlah pekerja,” katanya ketika ditemui Operasi Bersepadu di tempat penginapan MRT Jalan Cochrane hari ini.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Mohd Rokman Che Awang (kanan) membuat pemantauan melaksanakan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Akta 342 di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 04 MAC 2021

Mengulas lanjut, Che Mohd Rokman berkata, bagi penginapan jenis dormitori, keluasan diperuntukkan di bawah Akta 446 ialah seluas tiga meter persegi untuk seorang pekerja manakala keluasan bilik 3.6 meter persegi bagi setiap pekerja di penginapan jenis pangsapuri atau flat.

Selain itu, di bawah peraturan Akta 446 juga, keperluan asas yang wajib disediakan majikan termasuklah katil berkeluasan minimum 1.7 meter persegi, tilam berketebalan empat inci, almari atau loker berkunci bagi setiap pekerja minimum bersaiz 0.35 x 0.35 x 0,9 meter, bantal dan selimut.

“Bilik yang disediakan majikan juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya kipas,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Che Mohd Rokman, aktiviti memasak di dalam dormitori penginapan pekerja merupakan satu kesalahan di bawah Akta 446.

“Majikan harus menyediakan ruang memasak yang teratur dan sentiasa bersih bagi kegunaan pekerja,” katanya lagi.

Antara garis panduan penginapan jenis dormitori lain, majikan perlu menyediakan kemudahan mengikut nisbah standard minimum penyediaan bilik mandi iaitu 15 pekerja bagi satu bilik mandi.

Jika penginapan pekerja bagi jenis apartment atau rumah teres pula, peraturan dalam Akta 446 memperuntukkan satu bilik mandi bagi kegunaan enam pekerja, katanya.

“Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan Pekerja (Akta 446) di bawah Proklamasi Ordinan Darurat menetapkan majikan wajib menyediakan penginapan pekerja mengikut peraturan.

“Tindakan tegas boleh diambil JTK jika majikan gagal menyediakan perumahan pekerja mengikut peraturan yang telah diwartakan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak JTK telah membuka sebanyak 29 kertas siasatan sejak Februari lalu dan kebanyakannya berpunca kerana majikan gagal mendapatkan perakuan penginapan pekerja daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Justeru, JTK menyeru majikan dan penyedia penginapan untuk mengemukakan permohonan perakuan penginapan pekerja di cawangan JTK yang terdekat dengan kadar segera.- MalaysiaGazette