KUALA LUMPUR – Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicapai setelah megambil kira pandangan akar umbi, kata Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, keputusan tersebut juga dibuat setelah mempertimbangkan secara cermat buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika rakyat berhadapan dengan pandemiki Covid-19.
Selain enggan bekerjasama, UMNO juga berpendapat, kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Ahmad Maslan berkata, satu perjumpaan khas antara UMNO, Bersatu dan PAS yang diwakili lima kepimpinan tertinggi bagi setiap parti telah diadakan pada 15 Februari lalu.
“Di dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri merangkap Presiden PPBM, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan PPBM sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU ke-15.
“Bagi maksud tersebut, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) telah mengadakan mesyuarat pada Jumaat, 19 Februari 2021 untuk membincangkan lanjut hasrat YAB Perdana Menteri tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, Mesyuarat MKT telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO mengutuskan surat kepada Presiden PPBM bagi menyatakan keputusan:
i. Tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15.
ii. UMNO berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Katanya, sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Mus ketika mengulas mengenai surat yang dihantar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan seumpama itu tidak perlu dan hanya melemahkan akar umbi.- MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
- Tiada keperluan untuk UMNO utus surat – Annuar
- Keputusan UMNO putus kerjasama dengan Bersatu dibincang petang ini – Hamzah