KUALA LUMPUR – Laporan hasil siasatan berhubung insiden di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) pada Rabu yang mengorbankan dua wanita perlu didedahkan kepada orang awam, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata orang awam mempunyai kepentingan dalam insiden itu dan mereka yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan tegas.
“Saya cadangkan hasil siasatan perlu didedahkan kepada orang awam kerana banyak kali mereka lakukan siasatan, selepas itu tiada siapa yang tahu (hasil siasatan) dan lama-kelamaan orang akan lupa sehingga kejadian seterusnya berlaku. Adalah penting untuk pihak berkuasa menyiapkan siasatan dan hasilnya didedahkan kepada umum,” katanya kepada Bernama.
“Saya bukan menyalahkan pemaju kerana saya bukan pihak berkuasa. Tapi secara amnya, di negara kita sudah terlalu banyak kemalangan berlaku dan ia kini menjejaskan keyakinan orang ramai…mereka sudah ada rasa fobia apabila melalui kawasan pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Malaysia (MRTSA) Nik M Salim Nik M Salleh bersetuju dengan cadangan hasil daripada siasatan itu perlu dikongsi dengan orang awam disusuli audit keselamatan agar kemalangan tersebut tidak berulang.
Beliau berkata pematuhan kepada keperluan perundangan, tata amalan industri, standard, garis panduan serta pengurusan yang lebih bersistematik perlu dipatuhi oleh pihak industri bagi menjamin keselamatan semua pihak.
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebelum ini menyatakan pihaknya memfokuskan aspek pengurusan trafik dalam siasatan terhadap insiden itu mengikut Seksyen 34B dan 34C Akta CIDB.
Kejadian kira-kira 6 petang itu menyebabkan dua wanita maut manakala dua lagi wanita serta seorang lelaki yang merupakan pemandu van tersebut, cedera.
— BERNAMA