ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut, selepas mengatasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 pada aksi yang berlangsung tanpa kehadiran penonton di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam ini.
Pemain tengah JDT Muhammad Safawi Rasid dan pemain import dari Sepanyol Natxo Insa masing-masing mencetak nama sebagai penjaring, untuk membantu skuad Harimau Selatan meraih gelaran juara kali keenam dalam tempoh tujuh musim sejak 2015.
Kejayaan memenangi perlawanan pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 itu, turut memberi tiga mata penuh buat skuad Harimau Selatan dalam misi melakar sejarah merangkul kejuaraan Liga Super kali kelapan musim ini.
Pada aksi malam ini, skuad bimbingan Benjamin Mora memberi amaran di awal permainan menerusi rembatan lencong Leandro Velazques yang menggegar palang pasukan pelawat pada minit keempat, sebelum percubaan Gonzalo Cabrera turut dinafikan palang tujuh minit kemudian.
KDA FC yang bergelut mencipta gerakan bagaimanapun hampir mengejutkan pasukan tuan rumah apabila rembatan akrobatik pemain import Tchetche Kipre pada minit ke-19, hanya menyinggah palang tatkala penjaga gol JDT Mohd Farizal Marlias sudah tertewas di posisinya. – MalaysiaGazette