Home Sukan Piala Presiden, Piala Belia dijalankan dalam format baharu

Piala Presiden, Piala Belia dijalankan dalam format baharu

Hari ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui berlaku kesilapan pengadil perlawanan dalam perlawanan Liga Super 2022 membabitkan pertemuam antara pasukan Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC.

KUALA LUMPUR – Dua pertandingan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Piala Presiden dan Piala Belia akan dijalankan dengan format baharu untuk musim 2021 sahaja.

FAM dalam satu kenyataan menjelaskan format kedua-dua pertandingan berkenaan diubah selepas mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang masih melanda negara.

Langkah itu dilaksanakan seiring dengan pendekatannya menjadikan tahun 2021 sebagai tahun peralihan mengemudi pertandingan bola sepak kendaliannya selain memastikan kesinambungan liga sehingga akhir musim.

Badan induk itu memaklumkan sebanyak 19 pasukan telah menghantar permohonan untuk menyertai Piala Presiden manakala  20 pasukan lagi memohon untuk beraksi pada Piala Belia musim 2021.

“Format pertandingan baharu Piala Presiden dan Piala Belia musim 2021 akan dikategorikan berdasarkan kedudukan geografi mengikut zon terdiri daripada zon selatan, barat, utara, timur dan tengah (termasuk Sabah dan Sarawak) yang akan bermula Jun ini.

“Pasukan-pasukan ini akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan Kumpulan A akan dianggotai oleh pasukan dari zon selatan, barat dan tengah; Kumpulan B dibarisi pasukan dari zon utara dan tengah manakala Kumpulan C disertai pasukan dari timur, barat dan tengah,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, FAM berharap agar format baharu yang dilaksanakan mengikut zon dapat memastikan liga dapat ditamatkan dalam jangka masa ditetapkan dan mengurangkan kos perjalanan pasukan antara negeri ketika waktu yang mencabar ini.

Format baharu itu juga bakal menyaksikan pasukan teratas bagi ketiga-tiga kumpulan berentap di pusingan kalah mati setelah tamat peringkat kumpulan.

“Untuk saingan Piala Belia, 16 pasukan terbaik terdiri daripada pasukan teratas Kumpulan A,  Kumpulan B dan Kumpulan C serta satu pasukan terbaik tempat keenam dari Kumpulan A, B atau C akan bertemu pada pusingan 16, dengan lapan pemenang akan mara ke suku akhir, seterusnya separuh akhir dan final.

“Perlawanan bagi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir juga akan dijalankan dengan format satu perlawanan sahaja manakala final akan berlangsung secara timbal balik,” menurut kenyataan itu lagi.

Peraturan serta aplikasi format baharu ini dilihat diguna pakai di peringkat antarabangsa bagi memastikan perkembangan pertandingan selain pasukan dapat meneruskan perlawanan susulan format pertandingan yang boleh mengelakkan penundaan dan pembatalan perlawanan.

“Proses saringan dokumen pasukan kini berada di peringat akhir dan senarai pasukan serta jadual perlawanan buat kedua-dua pertandingan ini akan diumumkan pada awal April ini,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette