KUALA LUMPUR – Tidak dapat rentas negeri untuk menghabiskan cuti hujung minggu, bukan isu besar kepada warga kota kerana banyak tempat rekreasi boleh dikunjungi selepas berbulan-bulan terperok di dalam rumah.
Zoo Negara antara destinasi pelancongan domestik popular dalam kalangan warga kota yang menjadi pilihan sejak ia dibuka semula sejak semalam.
Wartawan MalaysiaGazette yang melalui Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Zoo Negara mendapati jalan raya di situ sesak teruk sekitar jam 10 pagi tadi disebabkan lalu lintas menuju ke taman haiwan itu.
Kesesakan di MRR2 bukanlah luar biasa kerana ia berlaku setiap hari namun trafik bergerak sangat perlahan kerana banyak kenderaan tersekat di Jalan Ulu Kelang adalah bukan normal ketika rentas negeri masih tidak dibenarkan lagi.
Rupa-rupanya kesesakan itu berpunca di lorong pusingan U berhampiran Taman Permata untuk ke Zoo Negara.
Kesesakan yang berlaku itu bukan sehala tetapi melibatkan dua hala dari Taman Melawati ke zoo tersebut.
Tinjauan mendapati kereta bergerak perlahan di dua lorong menuju ke Zoo Negara.
Laluan itu hanya ada tiga lorong sahaja.
MalaysiaGazette mendapati tempat khas parkir di luar perkarangan zoo penuh dengan deretan kenderaan, menyebabkan pengunjung terpaksa meletakkan kereta di tepi-tepi jalan.
Ternyata panas terik tidak menghalang warga kota beriadah bersama keluarga selepas sekian lama duduk di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Pembukaan Zoo Negara itu turut dilihat menjadi ‘rezeki’ kepada penjaja-pejaja dan peniaga kecil di kawasan sekitar dengan menjual pelbagai juadah makanan dan minuman.
Zoo Negara turut terjejas akibat pelaksanaan PKP kerana tidak dibenarkan beroperasi.
Bagi menampung kos operasi, Zoo Negara melaksanakan pelbagai program, antaranya, Program ‘Adopt An Animal’ dengan memberi sumbangan serendah RM25 bagi penyelamatkan haiwan sekali gus menyumbang makanan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi agensinya Tourism Malaysia juga melancarkan Kempen Stimulus Cuti-Cuti Malaysia ‘Santai di Zoo’ dengan tawaran diskaun istimewa bagi tiket masuk bermula hari ini hingga 31 Mac. – MalaysiaGazette