PUTRAJAYA – Aspek pendidikan digital menjadi instrumen penting yang perlu diberi tumpuan dalam mendepani persekitaran pembelajaran norma baharu pada masa akan datang, kata Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, guru-guru adalah fokus utama Kementerian Pendidikan dalam menyediakan kepakaran teknologi serta pengetahuan mendalam bagi memastikan pendidikan digital yang diuar-uarkan mampu mencapai matlamatnya.
Beliau juga menarik perhatian mengenai pemilikan peranti digital dalam kalangan murid yang menjadi platform penting untuk membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
“Pemilikan peranti ini adalah cabaran utamanya, macam mana kita mahu laksana kalau murid tiada peranti,” katanya dalam sidang media khas sempena Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya.
Menurut Radzi, tidak terhenti setakat pemilikan peranti digital, kepakaran guru dalam pendidikan digital juga perlu juga diberi tumpuan supaya mereka tahu menggunakan teknologi.
“Dalam konteks ini, suka atau tidak kita perlu bersama melaksanakan supaya anak-anak kita tidak ketinggalan.
“Banyak negara sudah memulakan lebih awal pendigitalan pendidikan mereka. Ini berjaya dibuat disebabkan pengalaman mereka dalam menghadapi situasi Covid-19 ini. Jadi, kita tidak boleh jauh ketinggalan dalam bidang ini, sebab itu fokus yang kita tekankan sekarang adalah pendidikan digital,” katanya lagi.
Beliau berkata, Didik TV akan terus bersiaran walaupun kerajaan mengambil keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat.
Menurut beliau, Didik TV mampu menjadi pendekatan alternatif pembelajaran secara bersemuka bagi menjayakan program Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) sekiranya berlaku lagi episod penutupan sekolah pada masa akan datang.
“Tidak timbul isu tak digunakan, proses Didik TV ini panjang dan seperti mana kita tahu kaedah pengajaran dan pembelajaran adalah secara bersemuka.
“Didik TV ini sama ada buka atau tutup sekolah, kita masih boleh menggunakan Didik TV ini secara optimum. Tidak timbul samada buka atau tutup sekolah.
“Namun begitu, dalam konteks yang ada, kita bergerak ke hadapan kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan. Katakan KPM tidak buat Didik TV, datang lagi satu gelombang yang lebih besar, masyarakat akan kata mana TV pendidikan.
“Keputusan ini kita telah ambil kira, sekiranya perkara ini (penutupan sekolah) berlarutan, ini kegunaan Didik TV,” katanya. – MalaysiaGazette