Home Politik Gubal undang-undang anti lompat parti sebelum PRU15 – Wanita MCA

Gubal undang-undang anti lompat parti sebelum PRU15 – Wanita MCA

Heng Seai Kie

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita MCA hari ini mencadangkan kerajaan menggubal segera undang-undang anti lompat parti sebelum pilihan raya umum akan datang bagi menghentikan budaya ‘katak politik’ yang disifatkan semakin parah.

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie berkata, negara tidak akan stabil sekiranya undang-undang itu tidak digubal, dan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, seramai 60 wakil rakyat telah melompat parti.

“Mengambil kira keselamatan rakyat dan kepentingan negara, Wanita MCA ingin menyeru kepada semua parti politik tanpa mengira ideologi supaya mengenepikan percaturan politik dan bersama-sama memerangi pandemik COVID dan mengutamakan rakyat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita MCA ke-45, di sini.

Persidangan yang dirasmikan Setiausaha Agung parti, Datuk Chong Sin Woon itu dihadiri 686 perwakilan daripada 186 bahagian seluruh negara dan dilangsungkan secara hibrid yang menggabungkan kehadiran secara fizikal di Wisma MCA di sini dan secara maya.

Dalam ucapan itu, Heng turut mencadangkan kerajaan mengkaji dan meminda undang-undang yang tidak relevan atau tidak memihak kepada golongan wanita.

Antara yang dicadangkan ialah mengenakan hukuman penjara kepada bekas suami yang tidak membayar nafkah kepada bekas isteri, menyelesaikan masalah pewarisan kenegaraan melibatkan anak hasil perkahwinan dengan bukan warganegara serta membenarkan pasangan bukan warganegara untuk bekerja di Malaysia.

Mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Heng berkata, Wanita MCA bersama Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan Pemuda MCA berusaha merekrut seramai mungkin sukarelawan bagi membantu masyarakat mendaftar untuk program berkenaan dan serentak itu, Kempen Kesedaran Vaksinasi COVID-19 dilancarkan hari ini.

“Wanita MCA akan melakukan gerak kerja dengan membuat kunjungan rumah ke rumah sekiranya dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan membuka kaunter untuk membantu orang ramai membuat pendaftaran bagi mendapatkan suntikan COVID-19,” jelasnya.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi antara individu awal menerima suntikan vaksin.

Terdahulu, Chong ketika merasmikan perhimpunan Wanita MCA itu berkata, parti berpandangan terdapat keperluan untuk lebih ramai wanita dilibatkan dalam Jawatankuasa Pusat MCA serta sebagai calon pada PRU akan datang.

Setakat ini terdapat lapan wakil wanita dalam Jawatankuasa Pusat MCA.

“Selain itu, daripada 39 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi MCA pada PRU14, enam kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN ditandingi calon daripada Wanita MCA. Parti melihat terdapat ruang lagi untuk penambahbaikan bagi ahli Wanita MCA,” katanya.

Chong berkata, dengan kekurangan wakil wanita, agak sukar untuk parti menyuarakan isu-isu semasa termasuk berkaitan keluarga, pendidikan, hak kanak-kanak, peluang pekerjaan untuk golongan muda dan golongan yang kurang berkemampuan dengan berkesan.

Pada sidang media kemudian, Heng ketika ditanya mengenai kenyataan Chong supaya lebih ramai wakil wanita dilibatkan dalam jawatankuasa parti dan calon pilihan raya berkata, sayap itu telah menghantar senarai 25 individu untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan tertinggi parti sebagai calon PRU. – Bernama