Home Politik Hala tuju UMNO bukan ikut kehendak pihak lain – Zahid

Hala tuju UMNO bukan ikut kehendak pihak lain – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu ada hala tujunya sendiri dan bukannya ikut kemahuan pihak-pihak tertentu.

Tegas beliau, hala tuju UMNO mesti demokratik dan bermusyawarah.

”Mungkin UMNO hanya dianggap ada hala tuju jika ikut kemahuan mereka. Tidak bolehlah begitu. Tidak boleh sekadar memenuhi keperluan peribadi tertentu,” katanya.

Ia berdasarkan kepentingan akar umbi parti, negara dan rakyat keseluruhan.

Berdasarkan kenyataan sebelum ini, Ahmad Zahid mengulangi bahawa hala tuju UMNO paling utama ketika ini adalah memperkasakan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15.

Keduanya, memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan BN.

Dalam kenyataan yang pernah dimuat turun dalam akaun Facebooknya, Ahmad Zahid berkata, beliau faham hala tuju sering dikaitkan dengan strategi.

Lantaran itu, beliau sekali lagi memberi jaminan bahawa UMNO ada strategi.

Cumanya ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang UMNO sedang dan akan lakukan.

”Strategi UMNO tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema. Perlu bijaksana,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Betul tu…UMNO dah tak nak, Bersatu jgn duk terhegeh2..Si Nuar Musa, Shahidan Kassim dan geng2 dia blh cepat2 ambil borang Bersatu..

Comments are closed.