Home Nasional Veteran politik Abdul Ghani Gilong meninggal dunia

Veteran politik Abdul Ghani Gilong meninggal dunia

KOTA KINABALU – Veteran politik Sabah Tan Sri Abdul Ghani Gilong, 88, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini, malam tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.12 tengah malam akibat sakit tua.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin yang berkongsi berita pemergian tokoh politik itu melalui laman rasmi Facebooknya menyifatkan kehilangan Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negara, khususnya bagi rakyat Sabah.

“Allahyarham merupakan salah seorang daripada empat penerima Anugerah Tokoh Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2010 berikutan jasanya yang banyak membantu penyertaan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia pada 1963,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2017, UMS telah menganugerahkan Allahyarham Ijazah Doktor Falsafah Kehormat pada majlis konvokesyen ke-19.

Anak Allahyarham, Cheri Gilong Avriett dan menantunya Norman Radzuan menerusi catatan Facebook turut memohon orang ramai mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Allahyarham dilahirkan pada 30 Mei 1932 di Kampung Matan, Ranau dan pernah menjawat jawatan sebagai menteri Persekutuan sehingga 1978.

Selain itu Allahyarham juga pernah berkhidmat dengan tiga bekas Perdana Menteri yang terawal dan sejak melibatkan diri dalam arena politik pada 1963, beliau pernah memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam.

Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Menteri Kehakiman serta Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Malaysia serta turut memainkan peranan sebagai salah seorang pemimpin dari Sabah dalam pembentukan Malaysia. – Bernama