Home Nasional Bapa didakwa cabul anak perempuan

Bapa didakwa cabul anak perempuan

Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung berumur 14 tahun di Bandar Putra Kulai, tahun lepas.-pix Voice.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung berumur 14 tahun di Bandar Putra Kulai, tahun lepas.

Tertuduh yang merupakan seorang pekerja pendawaian membuat pengakuan tersebut, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang berusia 42 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang ketika itu berusia 14 tahun, dengan menyentuh bahagian kemaluan mangsa di sebuah rumah di Jalan Camar 9, Bandar Putra Kulai, Kulai, pada Jun 2020.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anaknya dengan menyuruh mangsa memegang kemaluan tertuduh di rumah sama, pada Feb 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan maksimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Azwad Sariman.

Terdahulu, Lydia tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kesalahan jenayah kes kanak-kanak tidak menawarkan sebarang jaminan.

Khairul Azwad pula tidak membuat sebarang rayuan jaminan sebaliknya meminta satu tarikh lain untuk membuat hujahan jaminan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 25 April depan.- BERNAMA