Home Ekonomi Ekonomi Malaysia dijangka kekal di landasan pertumbuhan positif – Nazri

Ekonomi Malaysia dijangka kekal di landasan pertumbuhan positif – Nazri

Dr. Nazri Khan

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka kekal di landasan pertumbuhan positif pada masa depan meskipun keadaan ekonomi global yang tidak menentu kerana negara memiliki penampan mudah tunai yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata meskipun peningkatan inflasi Amerika Syarikat (AS) ketika ini, bon Malaysia, iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia kekal stabil.

“Sekarang kita tahu yang pasaran jatuh bukan disebabkan oleh faktor ekonomi tetapi disebabkan oleh kenaikan inflasi yang lebih laju daripada jangkaan. Kita dapat lihat kejatuhan bon besar-besaran (di AS), tetapi bon Malaysia, secara perbandingannya, tidak terjejas setakat ini.

“Kita masih ada mudah tunai yang besar, BNM menurunkan kadar faedah empat kali tahun lepas. Jadi, terdapat kemungkinan bank pusat mengurangkannya lagi kepada 1.5 peratus (daripada 1.75 peratus) yang mungkin untuk merangsang ekonomi. Oleh itu, kita ada ‘peluru’ untuk menyokong ekonomi serta pasaran saham,” katanya kepada Bernama.

Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jay Powell telah mencetuskan penjualan mendadak hutang dan ekuiti Perbendaharaan AS selepas beliau menyatakan akan terus mengekalkan dasar monetari walaupun ekonomi semakin bertambah baik dan inflasi mula meningkat.

Kenyataan beliau itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur bahawa bank pusat memberikan reaksi terlalu perlahan kepada peningkatan inflasi dan hasil Perbendaharaan jangka panjang ketika ini.

Data daripada Bloomberg menunjukkan kadar pulang modal lima tahun AS, pengukuran jangkaan inflasi berasaskan pasaran, melebihi 2.5 peratus buat pertama kalinya sejak 2008, pada Rabu lepas.

Sementara itu, Nazri berkata Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan, mencecah paras 1,600 mata, mendapat rangsangan daripada aliran menurun kes jangkitan harian COVID-19 yang berada di bawah 2,000 kebelakangan ini, serta pemulihan berterusan harga minyak mentah.

Menurutnya, pasaran juga dijangka mendapat sokongan susulan spekulasi pilihan raya umum ke-15 yang dijangka diadakan selepas pandemik itu dapat dibendung seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hubungan AS-China yang bertambah baik di bawah pentadbiran Joe Biden juga merupakan pemangkin yang baik bagi kita. Sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan kedua-dua negara itu merupakan antara rakan dagangan utama kita, Malaysia harus memanfaatkan perkembangan positif ini untuk mengembangkan ekonomi,” katanya.- BERNAMA