KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan lebih 127,608 individu di negara ini telah menjalani proses pemberian dos pertama vaksin Covid-19.
Menurut menterinya, Datuk Dr Adham Baba, Sarawak menjadi negeri terbanyak menerima suntikan dos pertama vaksin dengan 18,034 penerima.
“Pahang seramai 13,830 penerima diikuti Selangor 11,982, Kelantan seramai 11,680, Kuala Lumpur seramai 11,266 dan negeri Perak pula seramai 10,678 penerima,” demikian ciapan di Twitternya hari ini.
Negeri-negeri lain adalah Sabah dan Johor masing-masing dengan 9,515 penerima, Kedah (5,414); Pulau Pinang (5,172); Negeri Sembilan (4,864); Terengganu (4,675) penerima; Melaka (4,312); Putrajaya dengan (2,290); Perlis (2,223) dan Labuan dengan 2,158 penerima setakat semalam.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.
Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal pada 26 Feburari itu bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin tersebut untuk fasa pertama ini yang akan berlangsung hingga April depan. – MalaysiaGazette