Home Nasional MH370: Voice370 desak Malaysia serah rakaman radar tentera kepada pakar bebas

MH370: Voice370 desak Malaysia serah rakaman radar tentera kepada pakar bebas

Kerajaan Malaysia sekali lagi diminta memberi kerjasama  menyerahkan data lengkap bacaan radar tentera kejadian kehilangan MH370 kepada Jawatankuasa Badan Bebas Penyiasatan Kemalangan Udara Antarabangsa.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia sekali lagi diminta memberi kerjasama  menyerahkan data lengkap bacaan radar tentera kejadian kehilangan MH370 kepada Jawatankuasa Badan Bebas Penyiasatan Kemalangan Udara Antarabangsa.

Itu antara permintaan Kumpulan Voice 370 yang mewakili waris-waris serta keluarga 239 penumpang pesawat yang hilang secara misteri tujuh tahun lalu.

Voice 370 berpendapat langkah itu bagi membolehkan badan penyiasatan bebas memulakan siasatan berdasarkan data radar tentera untuk mendapatkan bukti atau petunjuk baharu menjejaki pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

“Permintaan kami sangat jelas kerajaan Malaysia perlu mengeluarkan segala rakaman rdata radar tenteranya bermula 7 hingga 8 Mac 2014 berkaitan penerbangan dan laluan MH370 sebelum hilang secara misteri daripada radar dan sebelum diputuskan berakhir di Selatan Lautan Hindi kepada pakar siasatan bebas.

“Ia penting untuk mereka menyiasat dan menganalisa segala data dan perolehan pada hari sebelum dan sehingga pesawat malang itu hilang bersama penumpangnya.

“Selain ia perlu bagi menjawab segala persoalan masyarakat antarabangsa mengenai dapatan maklumat dan penterjemahannya oleh pihak berkuasa,” kata Voice 370 dalam persidangan maya Zoom sempena ulang tahun ketujuh memperingati kehilangan MH370 hari ini.

Kumpulan Voice 370 mendakwa mereka bersama para waris mangsa MH370 sudah menulis surat hampir setiap bulan selama tujuh tahun ini kepada pihak berkuasa Malaysia bagi tujuan yang sama.

Pun begitu kata mereka, tuntutan itu ditolak atas soal keselamatan dalam negara.

“Kami sudah banyak kali menulis surat dan mengeluarkan kenyataan terbuka mendesak kerajaan Malaysia berkongsi data penuh radar tentera negara ini kepada jawatankuasa badan siasatan bebas kemalangan udara antarabangsa sejak tujuh tahun lalu.

“Tuntutan turut dikemukakan kepada kerajaan pemerintahan terdahulu (Pakatan Harapan) namun mereka tidak bersedia berbuat demikian kerana atas faktor kepentingan keselamatan negara,” katanya.

Bagaimanapun kumpulan berkenaan berpendapat kerajaan Malaysia sekarang perlu mempertimbangkan semula tuntutan itu kali ini.

“Kami rasa ia mungkin boleh membantu pakar jawatankuasa siasatan bebas dalam menyusun kaedah dan rancangan baharu memberi petunjuk baharu untuk menjelaki kedudukan tepat MH370 sekaligus merungkai misterinya selepas ini.

“Itu tuntutan yang hadir dari beberapa waris penumpang MH370 khususnya dari negara China yang hampir setiap hari ke kaunter pejabat MAS di China untuk mengetahui sebarang kemungkinan perkembangan baharu mengenai orang kesayangan mereka yang hilang genap tujuh tahun,” katanya lagi.

Justeru mereka juga menuntut kepada mana-mana individu, institutsi dan kerajaan yang ada sebarang maklumat baharu termasuk laporan agensi risikan serta rakaman yang boleh menyokong apa sahaja berkaitan MH370 supaya tampil ke hadapan memberi kerjasama segera kepada Voice370.

Dalam perkembangan sama, kumpulan itu juga mahu Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Malaysia sebagai agensi bertanggungjawab yang mengambil alih tugas Pasukan Penyiasatan ICAO Annex 13 perlu mengemaskini perkembangan terbaharu membabitkan MH370.

“Waris-waris penumpang di China yang terjejas dalam insiden MH370 juga menuntut MAS supaya mencari langkah alternatif dengan menyediakan pampasan tambahan dengan segera memandangkan waris yang berdepan kesukaran hidup kini masih menunggu penyelesaian kes mereka di mahkamah.

“Justeru mereka juga mahu MAS seperti yang dipersetujui sebelum ini memulakan semula mesyuarat dan perjumpaan secara kerap dengan waris penumpang MH370 yang sudah berusia di China untuk terus mengemaskini perkembangan terbaharu pencarian pesawat.

“Mereka (waris mangsa) juga mengharapkan sesi sokongan kaunseling dan psikologi kepada golongan warga emas itu di China daripada MAS,” kata Voice370 dalam tuntutan itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan bersedia untuk teruskan pencarian MH370 – Ka Siong