KUALA LUMPUR – Dalam menghadapi impak ekonomi akibat penularan wabak Covid-19, pelbagai pakej rangsangan telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu golongan yang terkesan.
Mereka terdiri daripada golongan B40, M40 serta sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan segala jenis aktiviti.
Hampir setahun yang lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dengan mengambil kira semua golongan tanpa ada yang tercicir.
Antara pakej-pakej yang dinikmati adalah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), Dana Pinjaman Mudah PKS, Program Pengekalan Pekerja, Geran Khas Prihatin (GKP) dan pelbagai lagi bantuan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata rakyat berpuas hati dengan bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan semasa negara berdepan dengan wabak Covid-19.
Bagi peniaga kasut, Aziz Alias, 50, dia bersyukur kerana layak untuk menerima bantuan-bantuan yang diumumkan oleh kerajaan sepanjang tahun lalu.
“Banyak bantuan yang saya terima bukan sahaja GKP malah ada beberapa lagi kerana apa sahaja yang kerajaan umum memang saya terima manfaatnya.
“Memang sangat membantu lebih-lebih ketika sedang sesak dan memerlukan,” katanya.
Namun dalam masa sama, Aziz turut mencadangkan supaya kerajaan mempunyai mekanisme khusus buat para peniaga kecil sepertinya supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup ketika musim Covid-19.
Aziz berkata, apa yang paling diharapkan oleh mereka adalah kebenaran untuk berniaga.
“Bantuan yang dihulur sekadar untuk kita bertahan ketika PKP namun kalau boleh benarkan kami golongan peniaga ini dapat berniaga seperti biasa walaupun suasananya tidak lagi sama seperti dahulu,” katanya.
Sementara itu, peniaga muda, Nik Muhammad Firdaus Nik Awang, 25, mencadangkan kerajaan menghulurkan bantuan secara berkala sama ada dalam bentuk geran atau pun bayaran one-off kepada para peniaga kecil.
Menurut Nik Muhammad Firdaus, ekoran daripada penularan wabak Covid-19, ramai golongan muda terkesan termasuk ada yang kehilangan pekerjaan kemudiannya mencuba nasib dengan berniaga.
“Peniaga memang semakin ramai dan sekiranya negara sekali lagi berhadapan dengan PKP, harap kerajaan boleh hulurkan bantuan geran seperti sebelum ini supaya dapat membantu mereka yang tidak boleh keluar berniaga.
“Kalau tidak dapat menerusi kewangan, mungkin ada tapak berniaga untuk mereka yang benar-benar perlukan ruang perniagaan,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Nordin Harun, 60, berharap bantuan GKP dapat diteruskan dan membantu mereka yang bergantung 100 peratus kepada sumber pendapatan dengan berniaga.
“Semua orang faham semasa Covid-19 ini pendapatan memang berkurangan kerana orang ramai takut hendak keluar lebih-lebih lagi kita masih di bawah zon merah.
“Sekarang rentas daerah sudah dibenarkan maka adalah sedikit pendapatan kami buat masa ini,” katanya.
Tambah Nordin lagi, bukan sahaja GKP malah bantuan-bantuan berupa bayaran one-off harus diteruskan dari masa ke semasa selagi negara masih dibelenggu wabak Covid-19.
Katanya lagi, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan sebelum ini benar-benar memberi manfaat terutamanya kepada golongan yang memerlukan.
“Bila Covid-19 dan PKP, hanya 30 peratus sahaja pelanggan yang ada. Jadi bantuan yang diterima kami gunakan untuk buat pusingan modal dan tampung apa yang patut, boleh lah tarik nafas lega sedikit,” katanya. – Malaysia Gazette