Home Politik PRU-15: MCA mahu kekal dengan BN

PRU-15: MCA mahu kekal dengan BN

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MCA hari ini menzahirkan pendirian parti untuk kekal bersama-sama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menegaskan perkara itu pada perasmian Perhimpunan Agung MCA ke-67 berkata, sejak penubuhannya MCA telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran dalam perjuangan dan menghadapi waktu susah senang dan pahit manis bersama-sama (BN).

“Meraikan kepelbagaian budaya, kesederhanaan dan sifat inklusif yang diterap dan dipratikkan oleh BN adalah selari dengan perjuangan MCA.

“Oleh itu, pada PRU15 datang, MCA akan terus bersama-sama dengan BN, untuk memastikan BN memperoleh kemenangan. Jika melihat adanya keperluan, kita juga akan bersama parti-parti lain untuk membina kekuatan dalam membawa semangat kepelbagaian dan kesederhanaan demi memelihara negara,” katanya di sini.

Perhimpunan berkenaan diadakan secara hibrid, susulan pandemik COVID-19 menggabungkan kehadiran 120 perwakilan secara fizikal di ibu pejabat MCA di sini, manakala selebihnya mengambil bahagian secara maya.- BERNAMA