Home Nasional Suami isteri maut dirempuh van, dua anaknya cedera

Suami isteri maut dirempuh van, dua anaknya cedera

Sebuah kereta dan van bertembung mengakibatkan suami isteri maut sementara dua orang anaknya tercedera dalam kemalangan di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Saujana Impian, Lebuhraya Cheras-Kajang hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta dan van bertembung mengakibatkan suami isteri maut sementara dua orang anaknya tercedera dalam kemalangan di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Saujana Impian, Lebuhraya Cheras-Kajang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Mohd Hassan berkata, pasangan suami isteri itu menaiki kereta Perodua Bezza berwarna coklat dalam perjalanan menuju Semenyih dari Kuala Lumpur semasa kejadian pukul 3.59 petang.

“Apabila tiba ke lokasi kejadian, pemandu van jenis Toyota putih yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang dinaiki keluarga itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu kereta itu lelaki berusia 42 tahun dan penumpang wanita dipercayai isterinya berusia 40 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Selain itu, menurut Zaid, dua anaknya  di tempat duduk belakang berusia tujuh dan 14 tahun tercedera.

“Mayat kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba  sebelum polis menghantarnya ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.

“Sementara dua anak mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” kata Zaid.

Pemandu van terbabit pula seorang lelaki berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan siasatan lanjut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu van yang hilang kawalan memandu sehingga memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh kereta Perodua Bezza.

Kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa yang meninggal dunia itu mengalami kerosakan remuk teruk dihadapan dan beg udara terbuka.

“Kenderaan van yang hilang kawalan itu telah di bawa ke Ibupejabat Polis Kajang untuk pemeriksaan Puspakom dan siasatan. Polis turut menyiasat kemungkinan pemandu van terbabit di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya.

“Polis juga menyeru orang ramai atau saksi kejadian supaya tampil memberikan maklumat kejadian bagi membantu siasatan,” tegasnya.-MalaysiaGazette