Home Politik Tiada kesan sampingan selepas divaksin – Ahmad Maslan

Tiada kesan sampingan selepas divaksin – Ahmad Maslan

UMNO Supreme Council Meeting Datuk Seri Ahmad Maslan UMNO General Assembly MKN SOP
Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Syukur saya sihat.

Itu raksi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas 24 jam mengambil suntikan vaksin Covid-19 semalam.

Beliau berkata, dirinya masih sihat dan tiada kesan sampingan dihadapinya setakat ini.

“Apa rasa setelah semalaman di vaksinasi Covid19? Syukur saya sihat dan tiada kesan sampingan vaksin,” katanya di Twitternya hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu mengambil suntikan vaksin Covid-19 jam 9.30 pagi semalam.

Turut menerima suntikan vaksin itu adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang Muhammad Taqiuddin Che Man.

Beliau hari ini dilihat melakukan ziarah di sekitar Pontian antaranya di Kampung Parit Haji Yusof Darat, Kampung Parit Haji Yusof Laut, Jalan Parti Ibrahim, dan Jalan Parit Betak.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu turut memuat naik video berbasikal di sekitar kawasan parlimen itu pagi tadi.

Dalam pada itu, Ahmad menasihati orang ramai agar tidak risau akan proses imunisasi yang dijalankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tidak risau. Saya harap anda semua segera mendaftar. 80 peratus atau lebih rakyat perlu menjalani imunisasi penting ini,” katanya lagi.

Ahmad Maslan antara 220 Ahli Parlimen yang merupakan kumpulan pertama yang diberikan suntikan vaksin Covid-19 bermula hujung bulan lalu.

Pertimbangan demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi memandangkan tugas ahli politik yang banyak bertemu dengan rakyat.

Muhyiddin berkata, pemberian itu juga dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memandangkan Ahli Parlimen dan ADUN biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada 26 Februari ini dan Perdana Menteri akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan. – MalaysiaGazette