Home Nasional Belum ada keperluan adakan sidang DUN Selangor – MB

Belum ada keperluan adakan sidang DUN Selangor – MB

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) melihat keadaan kabin yang rosak selepas dilanda ribut di Taman Seroja Bandar Baru, Salak Tinggi, Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MAC 2021.

SEPANG – Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan sama ada perlu atau tidak untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana segala urusan untuk mengadakan sidang DUN mahupun Dewan Rakyat terkandung dalam Ordinan Darurat yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kalau ada keperluan kita (kerajaan Selangor) akan bawa, setakat ini belum ada keperluan mendesak terutamanya tapi kita sedang menilai semula kalau ada keperluan kita perlu panggil sidang DUN.

“Kita akan usulkan melalui kerajaan negeri atau melalui Dewan Undangan Negeri Selangor sendiri menghantar kepada Yang di-Pertuan Agong jika ada keperluan untuk sebarang pindaan Rang Undang-undang ataupun perbentangan kelulusan RUU termasuk undang-undang perbekalan,” katanya kepada media selepas melawat kawasan bencara ribut di Taman Seroja Bandar Baru Salak Tinggi hari ini.

Amirudin berkata demikian mengulas mengenai tiga ADUN Selangor yang berharap sidang DUN negeri itu dapat diadakan segera.

Ia selepas Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melawat kawasan terjejas teruk berikutan dilanda ribut di Apartment Dahlia Court, Salak Tinggi, Sepang. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MAC 2021.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sebarang permohonan untuk mengadakan sidang DUN juga perlu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Dewan Negeri kena mohon juga sebab hal ini telah dibincangkan dengan teliti oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Ada ruangan untuk buat sidang itu tapi kena mohon dan sampaikan justifikasi kepada Yang di-Pertuan Agong sebab perintah atau Ordinan Darurat ditandatangani diatas titah baginda dan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Sebelum ini ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, ADUN Rawang, Chua Wei Kiat dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi menggesa agar sidang DUN diadakan bulan ini namun ditangguhkan disebabkan proklamasi darurat. – MalaysiaGazette