Home Politik Cubaan sogok MP Sekijang, Saifuddin pertikai kenyataan SPRM

Cubaan sogok MP Sekijang, Saifuddin pertikai kenyataan SPRM

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada pelancaran kempen “Community Alert” sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2021.

PETALING JAYA – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang  menafikan Ahli Parlimen Sekijang ditawarkan RM10 juta untuk menyokong Perdana Menteri.

Katanya,  suruhanjaya itu tidak wajar mengeluarkan kenyataan awal sebelum siasatan bermula.

“Persoalan saya, dari mana SPRM petik jumlah RM10 juta? Sebelum siasatan. Kalau SPRM terus keluar kenyataan tanpa siasatan kita akan terus dengan  pendekatan lain (mendedahkan bukti sogokan),” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail terhadap cubaan sogokan untuk mengalihkan  sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Untuk rekod, ahli Parlimen PKR itu telah membuat laporan kepada SPRM semalam.

BACA: Ahli Parlimen Sekijang buat laporan SPRM dakwa disogok

SPRM menerusi kenyataan kemudiannya mengesahkan Natrah telah menafikan ada menerima tawaran RM10 juta oleh dua individu yang mempelawanya lompat parti seperti didakwa satu akaun Facebook Ops Johor.

Menurut Saifuddin, tindakan SPRM itu dilihat sebagai bukti bahawa suruhanjaya itu dijadikan alat politik.

“Menerusi kenyataan itu kita mempunyai asas yang kuat melihat SPRM sebagai senjata politik. Oleh itu kita nak desak SPRM jangan jadi alat untuk menongkat kerajaan yang rapuh.

“Apabila aduan dibuat yang paling afdal ialah menjalankan siasatan bukan ghairah keluarkan kenyataan untuk menutup aduan yang dibuat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Saifuddin bersedia mengemukakan bukti terhadap beberapa cubaan sogokan yang dilakukan terhadap Ahli Parlimen parti itu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Bagaimanapun beliau hanya akan menyerahkan bukti-bukti sekiranya Azam bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengannya.

Beliau memaklumkan akan menulis surat kepada Azam untuk memohon satu pertemuan diadakan bersamanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Natrah sahkan tiada tawaran rasuah RM10 juta – SPRM