“…KASSIM Selamat? Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Majistret?”
“Ahli Muzik? Memang pantang datuk nenek aku, ahli muzik. Anak tidak mengenang jasa!”
Dialog yang diungkapkan oleh Nyonya Mansoor lakonan Mak Dara di dalam filem Ibu Mertuaku (1962) ini antara dialog yang malar hijau di dalam masyarakat kita. Kritikan sosial daripada filem P. Ramlee ini boleh dikaji dari sudut pandang yang rencam.
Topik ini relevan dan tidak ditelan zaman kerana membicarakan tentang perjuangan kelas. Dalam perjuangan kelas, ada yang menindas, ada yang tertindas. Ada yang dipandang mulia, ada yang dipandang hina.
Menurut telaah Nyonya Mansoor, kerjaya sebagai Peguam atau Majistret itu mulia dan dipandang tinggi. Mungkin dari sudut sosial dan ekonomi. Justeru kerjaya ini dibanding-bandingkan dengan kerjaya lain seperti yang dilakukan oleh Nyonya Mansoor.
Ketertinggian dan kemuliaan darjat telah mengaburi masalah-masalah yang membelenggu disebaliknya. Siapa sangka, ada yang ditindas dan ditekan atas alasan dan hujah yang tidak masuk akal hanya kerana menghuni kelas yang berbeza.
Jalan Yang Panjang Untuk Menjadi Peguambela Dan Peguamcara
Akta Profesion Undang-Undang 1976 telah memberi kuasa untuk penubuhan Majlis Peguam yang mempunyai matlamat untuk mendukung kedaulatan undang-undang, memperjuangkan keadilan serta melindungi kepentingan profesion undang-undang dan kepentingan orang ramai.
Oleh yang demikian, untuk menjadi seorang peguam seorang individu itu hendaklah merupakan graduan undang-undang daripada universiti yang diakui seterusnya menjalani tempoh Latihan Dalam Kamar selama sembilan bulan di bawah seliaan Pengajar di firma guaman sebelum diakuiterima sebagai peguambela dan peguamcara. Pelatih Dalam Kamar Tiada Perlindungan.
Pelatih Dalam Kamar tidak dianggap sebagai pekerja. Mereka tidak tertakluk kepada hak di dalam Akta Pekerja. Ini juga bermaksud tiada jaminan gaji minimum untuk anak watan. Oleh yang demikian, Pelatih Dalam Kamar kerap terbelenggu dalam masalah yang sama – elaun rendah yang tidak masuk akal.
Menurut Seksyen 12(3) Akta Profesion Undang-Undang 1976 seorang Pelatih Dalam Kamar tidak dibenarkan bekerja atau menjawat apa-apa jawatan lain secara sepenuh masa atau separuh masa sepanjang tempoh 9 bulan Latihan Dalam Kamar. Pun begitu, ia tidak menghalang untuk diberikan saraan oleh pengajarnya.
Frasa saraan ini diterjemah secara luas sebagai elaun dan bukan gaji. Lantas tidak mengejutkan apabila kebanyakkan firma di luar Lembah Klang hanya membayar RM500 sebulan bagi Pelatih Dalam Kamar.
Permasalahan akar (elaun rendah tidak masuk akal) bagi Pelatih Dalam Kamar seterusnya
membentuk kesan domino (gaji rendah) kepada mereka sebagai peguam muda selepas tamat tempah sembilan bulan tersebut. Menurut Laporan Tahunan Majlis Peguam 2020/2021, ahli Majlis Peguam (practicing lawyer) menunjukkan peningkatan daripada 20,100 pada hujung 2019 kepada 20,689 pada hujung 2020 iaitu peningkatan sebanyak 3%. Jumlah ini termasuk 1,709 individu yang diterima sebagai Peguambela
dan Peguamcara pada tempoh tersebut.
Daripada jumlah tersebut kategori umur 21-30 tahun merupakan majoriti terbesar dengan 28.4% dan jumlah ini makin mengecil selari dengan peningkatan kategori umur. (26.6% 31- 40 tahun, 21.6% 41-50 tahun, 14.2% 51- 60 tahun, 9.2% 61 tahun ke atas)
Pun begitu laporan National Young Lawyer Committee 2011/2012 menggambarkan keadaan yang memilukan bagi peguam muda dan berterusan sehingga kini walaupun secara kasarnya membentuk majoriti daripada keseluruhan keahlian Majlis Peguam.
Mencari Jalan Penyelesaian
Oleh yang demikian, aksi dan mobilisasi oleh sekumpulan peguam muda daripada Young Lawyer Movement telah digarap dan dalam rangka untuk menerbitkan sebuah laporan terkini dan konklusif tentang permasalahan ini. Di samping itu, gerak kerja akar umbi juga telah dijalankan dengan serahan petisyen kepada setiap Majlis Peguam peringkat negeri dan pertemuan empat mata dengan Pelatih Dalam Kamar yang terkesan sebagai langkah advokasi berterusan.
Batu Penghalang
Tindakan untuk membela Pelatih Dalam Kamar yang terkesan ini tidak semudah yang kita
bayangkan. Kritikan dan bangkangan hebat diterima dengan pelbagai alasan.
Satu cadangan ‘bernas’ supaya Pelatih Dalam Kamar diberi pinjaman RM30,000 sepanjang 9 bulan dan dibayar semula selepas tamat tempoh 9 bulan menggegar akal-akal yang rasional di dalam profesion ini.
Belum sempat cadangan bernas ini hendak dipadam dari rekod ingatan, hujah lain turut bertalu diberikan seperti kehendak pasaran laissez-faire-pasaran-bebas, hujah perbezaan mantik antara elaun dan gaji di samping perbezaan maksud kata pelatih dan pekerja.
Harus diingat, pelatih dalam kamar juga memainkan peranan dan setiap kudrat yang diperah memberi keuntungan kepada firma guaman mereka.
Melawan Lupa
Dalam membicarakan tentang keadilan, haruslah berbuat adil. Seorang Pelatih Dalam Kamar juga harus menanggung kos sewa bilik (ya bilik, sewa rumah takkan mampu di bandar), kos pengangkutan, dan kos makan minum. Ini tidak lagi termasuk kos perubatan yang perlu ditangggung sendiri.
Mengikut statistik kerajaan, Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) telah disesuaikan mengikut realiti semasa daripada RM980 kepada RM2,208. Jika mengambil purata RM1,500 dan RM500 sebagai dua amaun terkecil, kedua dua amaun ini jauh di bawah paras kemiskinan.
Selain daripada PGK 2021 yang diperkenal Kerajaan, pihak Bank Negara Malaysia pula telah memperkenalkan gaji wajar sebanyak RM2,700 bagi individu bujang dewasa di Kuala Lumpur. Gaji wajar ini membolehkan penglibatan bermakna dalam masyarakat, peluang bagi pembangunan peribadi dan keluarga serta kebebasan daripada tekanan kewangan yang serius.
Walaupun begitu, kita masih jauh untuk mencapai tingkat yang wajar sebaliknya siap siaga menerima kadar rendah yang tidak masuk akal.
Mengekalkan Tradisi Kepeguaman Atau Mengekalkan Status Quo?
Bidang kepeguaman mengangkat dan berbangga untuk menjunjung tradisi daripada negara Barat. Manakan tidak, sistem perundangan negara ini adalah evolusi daripada sistem perundangan sivil negara Barat.
Pun begitu, Bar Standard Board (BSB) selaku badan mentadbir bidang kepeguaman di Britain telah mengorak langkah untuk memperkenalkan gaji minimum (minimum salary paid) kepada Pelatih Dalam Kamar selari dengan saranan Living Wage Foundation iaitu sebanyak £18,866 untuk 12 bulan Latihan Dalam Kamar di London dan £16,322 untuk 12 bulan di luar London pada tahun 2020 dan jumlah ini telah meningkat pada tahun 2021.
Soalnya kini, adakah tradisi yang hendak dipertahan atau kepentingan pihak tertentu?
Justeru, untuk menyelesaikan masalah yang berpanjangan ini kita punya dua pilihan. Sama ada kerajaan hari ini mempunyai keinginan untuk meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk merangkum Pelatih Dalam Kamar sebagai pekerja yang tertakluk dengan gaji minimum ataupun Majlis Peguam bangkit meluluskan usul untuk melindung dan memberi keadilan kepada Pelatih Dalam Kamar yang terkesan.
Namun semua itu masih belum berlaku. Jika inilah realiti hari ini, mungkin Nyonya Mansoor juga akan berfikir dua tiga kali untuk mengahwinkan anaknya dengan seorang Lawyer.
Oleh: Jang Solaris
Penulis menulis atas nama pena dan merupakan pengamal undang-undang.