Home Nasional Guna teksi untuk mengedar dadah di Lembah Klang

Guna teksi untuk mengedar dadah di Lembah Klang

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin menunjukkan barang rampasan mengenai tangkapan sindiket pengedaran dadah oleh warga tempatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket yang menggunakan perkhidmatan teksi untuk mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dengan tertangkapnya empat suspek dalam beberapa serbuan.

Pemandu teksi tersebut berperanan sebagai pengedar manakala tiga suspek lagi akan pencari pelanggan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek pertama ditahan di sebuah pusat membeli belah dan hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang pemandu teksi.

“Hasil soal siasat lanjut, pemandu teksi itu mengaku bahawa dia menyimpan bekalan dadah dalam bonet teksi untuk tujuan mengedar kepada pembelinya di sekitar Lembah Klang.

“Berpandukan maklumat pemandu berkenaan, kita telah menyerbu sebuah kondominium mewah dan sebuah rumah di Kepong Baru.

“Pemeriksaan di dalam kedua-dua rumah mendapati ia menjadi setor penyimpanan bekalan barang terlarang itu sebelum polis menemui sejumlah besar bungkusan dadah yang dimampat dengan anggaran berat sekitar 44.8 kilogram,” katanya pada sidang media hari ini.

Ia membabitkan dadah jenis syabu 2.497 kilogram, asas heroin (31.175 kg), ketamin (10.127 kg) dan pil ekstasi dan pil Eramin 5 masing-masing seberat 930 gram dan 100 gram.

Menurut Saiful Azly, polis turut merampas sepucuk pistol buatan China jenama Norinco dan satu kelopak peluru dengan 23 butir peluru hidup 9mm.

Menurut beliau, kesemua suspek tempatan berusia 34 tahun hingga 58 tahun dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan narkotik selain dua daripada mereka positif syabu.

“Pemandu teksi berkenaan pernah ditangkap bersangkut kes samun sebelum memandu teksi untuk membekalkan dadah dengan sindiket penjenayah dadah yang aktif sejak Januari 2021,” ujarnya sambil menambah polis masih menyiasat jika masih terdapat anggota sindiket itu yang masih bebas.

Selain itu, Saiful Azly berkata, polis turut merampas sebuah kereta dan wang tunai bernilai RM11,722 yang disyaki diperolehi hasil urusniaga dadah.

Beliau memberitahu, kesemua suspek direman sehingga 10 Mac ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenyah selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette