PUTRAJAYA – Walaupun pasca Covid-19 cukup mencabar namun banyak inisiatif sudah mula dilaksanakan dan terus digerakkan terutamanya dalam bidang komunikasi menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Jendela bertujuan memantapkan kualiti perkhidmatan komunikasi terutamanya dalam menggerakkan ekonomi digital pada tahun ini.
Sempena Setahun Malaysia Prihatin, Saifuddin melahirkan rasa teruja serta komitmen beliau dalam memastikan perancangan itu mencapai sasaran pada tahun ini.
“Antara sasaran kita termasuklah menyediakan sambungan talian tetap untuk 7.5 juta premis, meluaskan liputan 4G ke 96.9 peratus kawasan berpenduduk juga meningkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih.
“Sasaran lain mengalihkan semua spektrum 3G kepada 4G. Kita juga amat berharap khidmat 3G ini tutup pada tahun ini, dengan semua gunakan 4G sebagai persediaan bagi penggunaan 5G yang lebih stabil, pantas dan laju,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam satu wawancara khas sempena Setahun Malaysia Prihatin oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, walaupun pihaknya sedia maklum tentang penggunaan perkhidmatan 5G tidak begitu ‘diperlukan’ oleh golongan biasa namun ianya tetap diberi penekanan.
“Unjuran KKMM menunjukkan 70 peratus penggunaannya adalah oleh pihak industri manakala 30 peratus oleh orang awam. Tetapi kita juga sedia maklum kepentingan 5G ini.
“Kerajaan sendiri sedang mempercepatkan perlaksanaan 5G ini kerana ianya akan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia ke arah aspirasi MyDigital menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Pelan Jendela bernilai RM21 bilion dilancarkan Ogos tahun lepas bertujuan memberi liputan yang lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar yang lebih baik untuk rakyat sebagai langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G.
Ia merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.
Fokus KKMM itu dilihat selari dengan amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang komited pemerkasaan ekonomi digital sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.
Inisiatif ini menyasarkan ekonomi digital menyumbang 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025.
Kata Saifuddin lagi, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) berperanan melaksana strategi dan inisiatif ekonomi digital sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
“Kita sudah kenalpasti enam kluster untuk gerakkan agenda ekonomi digital dan 4IR ini. Pada masa ini kita sedang teliti inisiatif berkaitan infrastruktur digital dan data serta rangka kerja Identiti Digital Nasional,” jelasnya. -MalaysiaGazette