Home Ekonomi Minyak melonjak lepasi AS$70 setong

Minyak melonjak lepasi AS$70 setong

Seorang pekerja mengambil sampel minyak di telaga minyak di Morichal, Venezuela. foto Agensi

SINGAPURA – Niaga hadapan minyak Brent melonjak melepasi AS$70 setong hari ini – kali pertama sejak pandemik Covid-19 bermula.

Manakala minyak mentah Amerika Syarikat (AS) pula mencecah ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun susulan laporan serangan di kemudahan Arab Saudi.

Niaga hadapan minyak mentah Brent untuk Mei mencecah AS$71.38 setong pada awal perdagangan Asia, tertinggi sejak 8 Januari 2020 dan berada pada AS$71.11 setong pada 0255 GMT, naik AS$1.75 atau 2.5%.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS untuk April meningkat AS$1.60, atau 2.4%, kepada AS$67.69.

Harga WTI bulan depan mencecah AS$67.98 setong, tertinggi sejak Oktober 2018.

Saham Asia juga meningkat setelah Senat AS. meluluskan rang undang-undang rangsangan berjumlah AS$1.9 trilion sementara data ekonomi positif dari Amerika Syarikat dan China menjadi pertanda baik untuk pemulihan ekonomi global.

Pasukan Houthi Yaman melepaskan dron dan peluru berpandu di ‘jantung’ industri minyak Arab Saudi pada hari Ahad, termasuk kemudahan Saudi Aramco di Ras Tanura yang penting bagi eksport petroleum.

Namun Riyadh mendakwa serangan itu gagal mengancam keselamatan tenaga global. – MalaysiaGazette