KUALA LUMPUR – Minggu lalu pelabur asing telah bertukar kepada pembeli bersih ekuiti Malaysia dengan aliran masuk sebanyak RM285.83 juta.
Pada minggu sebelumnya, pelabur asing adalah penjual bersih ekuiti tempatan berjumlah RM477.43 juta.
Dalam laporan mingguan aliran dana hari ini, MIDF Research berkata, ketika pasaran dibuka semula Isnin lalu, pelabur asing merupakan pembeli bersih ekuiti tempatan bernilai RM50.3 juta.
Sementara itu, peruncit dan institusi tempatan pula adalah pembeli dan penjual bersih masing-masing berjumlah RM121.06 juta dan RM171.36 juta.
Menurutnya, pelabur asing adalah pembeli bersih setiap hari kecuali hari Khamis ekoran sentimen positif daripada pelancaran program vaksin Covid-19 di Malaysia dan penarikan semula Perintah Kawalan Ppergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor mulai Jumaat lalu.
Setakat ini, jualan bersih asing tahun ini menunjukkan penurunan lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Jualan bersih oleh pelabur asing adalah RM1.42 bilion pada tahun 2021 setakat ini, berbanding penjualan bersih sebanyak RM3.3 bilion pada tempoh yang sama pada tahun 2020.
Sementara itu, pelabur runcit merupakan pembeli bersih setiap hari minggu lalu, dengan pembelian bersih terbesar pada hari Isnin lalu kepada RM121.06 juta dan pembelian bersih terkecil pada hari Selasa lalu sebanyak RM22.45 juta.
Walau bagaimanapun, institusi tempatan adalah penjual bersih setiap hari dalam tempoh seminggu kecuali pada hari Khamis.
“Pengakhiran bercampur direkodkan selepas corak penjualan bersih selama empat minggu tahun ini.
”Aliran keluar mingguan kumulatif berjumlah RM590.4 juta. Penjualan bersih terbesar adalah pada hari Selasa kepada RM262.62 juta, sementara penjualan bersih terkecil pada hari Jumaat pada RM83.34 juta,” kata firma penyelidikan itu lagi.
Tambahnya, sejak awal tahun ini, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih di pasaran ekuiti tempatan yang bernilai RM4.05 bilion.
Institusi tempatan dan pelabur asing pula adalah penjual bersih masing-masing berjumlah RM2.64 bilion dan RM1.42 bilion,
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, pelabur asing dan institusi tempatan mencatatkan penurunan mingguan masing-masing kepada 21,51%, 30,48% dan 22,37% dalam nilai dagangan purata harian (ADTV). – MalaysiaGazette