Home Nasional Reman pemandu treler langgar struktur binaan SUKE akan disambung

Reman pemandu treler langgar struktur binaan SUKE akan disambung

Zulkefly Yahya

KUALA LUMPUR – Pemandu treler jengkaut yang melanggar struktur binaan Lebuhraya Sungai Besi Kajang (SUKE) di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) menyebabkan dua orang terbunuh manakala tiga lagi cedera akan disambung reman esok untuk kes trafik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya akan menyambung reman ke atas suspek berumur 41 tahun itu untuk ditahan dan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ini kerana kita perlukan sedikit lagi maklumat siasatan daripada segi aspek teknikal yang perlu disiasat dan dilengkapkan,” katanya dalam sidang media operasi ekzos bising motosikal dan kereta di pejabat Jalan Tun H.S.Lee hari ini.

Dalam kejadian pada 3 Mac lalu, dua pekerja kilang maut manakala tiga lagi, termasuk pemandu van, parah apabila binaan struktur binaan SUKE runtuh akibat dilanggar lori treler.

Kesemua mangsa, yang mana empat daripadanya adalah wanita, dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurut Zulkefly, suspek masih direman sehingga esok oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Tambah beliau, selepas mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya, suspek akan dituduh di mahkamah kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.

Ujar Zulkefly, polis perlu mendapatkan laporan lengkap kimia yang kedua untuk membuktikan ujian saringan urin positif dadah yang diperolehi pada awal siasatan.

“Ujian urin awal yang diambil polis selepas ditahan adalah sekadar asas, untuk membuktikan positif dadah, kita perlukan pengesahan jabatan kimia juga untuk mengukuhkan laporan,” katanya. – MalaysiaGazette