Home Pendapat Wanita bangkit mendepani cabaran

Wanita bangkit mendepani cabaran

HARI Wanita Sedunia yang turut dikenali sebagai Hari Wanita Antarabangsa disambut
pada 8 Mac setiap tahun bagi meraikan peranan wanita dalam pelbagai bidang.
Sambutan pada tahun ini bertemakan “wanita bangkit mendepani cabaran” yang
dilihat cukup sesuai dan signifikan dengan perkembangan dan cabaran semasa yang
sedang diharungi oleh golongan wanita di seluruh pelusok dunia khususnya akibat
serangan pandemik Covid-19.

Tidak dapat dinafikan golongan wanita antara kelompok yang cukup terjejas dengan
serangan wabak yang menghantui seluruh umat manusia sejak setahun yang lalu.
Golongan wanita boleh dikatakan terkesan baik dari segi ekonomi, kesihatan, emosi
mahupun perasaan.

Misalnya, golongan wanita juga ramai yang terkesan dari segi kesihatan apabila
ramai yang dijangkiti wabak serta berhadapn dengan cabaran akses kepada
kemudahan kesihatan, di samping ramai juga yang kehilangan pekerjaan akibat
daripada krisis ekonomi yang dicetuskan oleh wabak. Pada masa yang sama,
pelbagai statistik di negara kita juga menunjukkan sepanjang pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, ramai juga wanita yang menjadi mangsa
keganasan rumahtangga terutamanya penderaan secara fizikla dan mental. Malah
kes perceraian juga dilaporkan turut meningkat.

Maka sesungguhnya golongan wanita pada hari ini sedang berhadapan dengan
pelbagai cabaran dan dugaan yang cukup kritikal. Untuk keluar dari cabaran ini
mereka memerlukan semangat, iltizam dan daya tahan yang tinggi supaya dapat
bangkit mendepani segala rintangan, halangan dan cabaran yang ada, di samping
memerlukan dukungan yang kuat dari semua pihak terutamanya kaum lelaki.

Justeru kita berharap golongan wanita tidak mudah berputus asa sebaliknya
bangkitlah membuktikan kemampuan masing-masing. Jangan membiarkan sifat
lemah lembut kita dijadikan alasan untuk mana-mana pihak melakukan diskriminasi
baik dari segi gender, pekerjaan mahupun peluang pendidikan. Buktikan tangan yang
mengayun buaian dapat meggoncang dunia.

Ironinya tiada siapa mampu menafikan sumbangan dan pengorbanan para wanita
baik dalam membentuk keluarga yang bahagia mahupun kepada pembangunan
masyarakat dan negara. Namun masih ada yang cuba mengambil kesempatan dan
merendah-rendahkan kedudukan wanita sehingga melakukan pelbagai kezaliman.
Misalnya baru-baru ini kita digemparkan dengan satu kes pembunuhan kejam
membabitkan seorang isteri yang dilaporkan ditembak mati oleh suaminya sendiri
ketika sedang tidur.

Jadi usaha untuk memartabatkan kedudukan wanita dalam segala aspek perlu terus
diberi perhatian yang serius. Segala jenis diskriminasi dan kekejaman yang dilakukan
ke atas golongan wanita ini perlu dihentikan dengan segera. Ini membabitkan
peranan semua pihak, iaitu kerajaan, ahli keluarga, anggota masyarakat dan
golongan lelaki. Pihak kerajaan perlu memastikan adanya undang-undang yang tegas
dan keras bagi menghukum mana-mana individu yang menzalimi wanita. Biar
hukuman yang ada menjadi iktibar kepada semua agar tidak berlaku kejam terhadap
wanita. Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu terus melaksanakan inisiatif untuk
memartabatkan kedudukan dan kebajikan wanita terutamanya dari segi pelantikan
wanita ke jawatan-jawatan yang penting dalam kerajaan, penambahan peluang
pekerjaan termasuk keusahawanan kepada wanita, serta bantuan khusus kepada
wanita yang berhadapan dengan masalah rumahtangga, kehilangan pekerjaan serta
kemurungan dalam menjalani kehidupan sosial.

Ahli keluarga sebagai individu yang paling rapat pula perlu menjadi pendukung
utama kepada golongan wanita dalam mengharungi segala cabaran dan dugaan
yang menimpa. Golongan suami misalnya, perlu bukan saja menjaga dan melindungi

keselamatan dan kebajikan isteri tetapi perlu menjadi tulang belakang yang sentiasa
mendampingi isteri tatkala susah mahupun senang. Dalam hal ini kita berharap
sangat agar kes keganasan rumahtangga dapat dikurangkan secara drastik mulai
tahun ini.

Sesungguhnya lelaki dan wanita saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain.
Justeru elakkan sebarang bentuk diskriminasi mahupun kekejaman terhadap
golongan wnaita sebaliknya marilah kita membantu wanita bangkit mendepani
cabaran. Selamat menyambut hari wanita.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa