Home Nasional Dua lelaki ditahan kes sambungan elektrik haram mesin bitcoin

Dua lelaki ditahan kes sambungan elektrik haram mesin bitcoin

Arifai Tarawe

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki selepas terlibat operasi mesin melombong bitcoin dengan melakukan penyambungan elektrik secara haram di sebuah premis di Jalan Rawang Putra 1, Rawang hari ini.

Penahanan itu dibuat oleh pasukan Balai Polis Rawang yang juga bertindak menjalankan pemerhatian selama 30 minit di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Taware berkata, semasa pemerhatian tersebut, pasukan polis mendapati kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan.

Mereka dilihat telah memasuki premis tersebut dalam keadaan tergesa-gesa dan semasa keluar dari premis tersebut, pasukan polis telah melakukan serbuan seterusnya telah menahan mereka.

Menurut Arifai, hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, polis menemui sejumlah mesin melombong bitcoin yang sedang aktif beroperasi dengan membuat penyambungan elektrik secara haram.

Pemeriksaan tersebut turut dilakukan oleh Pegawai Juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rawang yang mengesahkan premis berkenaan telah mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan operasi mesin tersebut berdasarkan pintasan pada litar utama.

Hasil siasatan mendapati, aktiviti melombong bitcoin itu telah berjalan lebih kurang tiga bulan dan setiap mesin yang berjalan boleh mencapai keuntungan antara RM500 hingga RM1,000
sebulan.

Kerugian di pihak TNB masih dalam siasatan, kata Arifai.

Tambahnya, turut dirampas 46 unit mesin mining bitcoin, sebuah komputer riba dan modem serta serangkai kunci.

Suspek yang ditahan itu berusia 22 dan 35 tahun dan salah seorang daripadanya mempunyai rekod lampau jenayah komersial.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan. Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan reman telah dibenarkan selama sehari untuk
untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette