KUALA LUMPUR – Sampai bila rakyat di negara ini terus dihidangkan dengan berita wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa jenayah?
Itu persoalan bekas Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy.
“Ini bukan sesuatu yang baharu, ironi bukan apabila semalam kita meraikan golongan hawa (Hari Wanita Sedunia) tetapi pada masa kita tetap disajikan dengan berita-berita keganasan yang menghantui kehidupan mereka saban hari.
“Apakah sebenarnya yang boleh dilakukan sebenarnya? Menuding jari kepada pihak berkuasa sahaja mahupun undang-undang sahaja tidak cukup jika kita sendiri tidak mainkan peranan.
“Tentulah bermula dari dalam diri kita sendiri. Walaupun kebanyakan kita merasakan isu yang berlaku berkaitan masalah keluarga namun apabila berlaku keganasan, ini sudah menjadi jenayah yang perlu diambil peduli oleh semua terutama jiran.
“Banyak yang perlu kita pelajari, fahami paling penting sekali pendedahan berkaitan perlulah diperluaskan kepada golongan wanita mengenai hak mereka sekiranya berdepan dengan isu keganasan manakala masyarakat umum perlu faham peranan mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mohana merujuk kepada beberapa kes termasuk berita seorang wanita ditemui mati dengan kesan jerut pada leher di sebuah rumah di Kajang semalam.
Jelas Mohana, isu berkaitan keganasan semakin meningkat mendadak lagi-lagi dengan pendedahan oleh Women’s Aid Organisation (WAO) banyak menerima aduan dari yang biasa sepanjang perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19.
“Inilah realiti yang kita perlu hadapi sebenarnya, bagaimana hendak berdepan dengan situasi seperti ini, apakah pula caranya untuk elak daripada krisis ini menjadi lebih teruk.
“Pendedahan sewajarnya kepada mangsa, induvidu serta masyarakat keadaan ini perlu banyak dilakukan, bukan hanya bercakap mengenainya selepas sesuatu tragedi itu berlaku,” ujarnya.
Menurut Mohana semasa Ketua Wanita MIC pihaknya aktif dalam usaha memerangi keganasan terhadap wanita melalui pelaksanaan pelbagai program oleh agensi dan jabatan di bawah kementeriannya.
ARTIKEL BERKAITAN: