
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan kes sembuh mengatasi kes baharu positif Covid-19 dengan mencatatkan 2,345 kes berbanding 1,280 positif pandemik itu.
Bagaimanapun kes baharu Covid-19 menurun sebanyak 249 kes berbanding semalam dari 1,529 kes kepada 1,280 kes setakat jam 12 tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 316,269 semuanya setakat ini.
“Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 18,704 kes.
“Daripada jumlah kes baharu, terdapat dua kes import, masing-masing seorang warganegara dan seorang lagi bukan warganegara.
“Bagi penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,278 kes di mana 919 kes adalah warganegara tempatan dan 359 bukan warganegara,” katanya.
Selain itu, sebanyak 155 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 76 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.
Bagaimanapun kes kematian akibat Covid-19 pula meningkat satu kes, dari lapan kes semalam kepada sembilan hari ini.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,186 kes iaitu 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di mana lapan daripadanya adalah warganegara dan satu lagi bukan warganegara,” katanya.
Dalam pada itu, Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 464 kes atau 36.3 peratus dan 368 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
Ia diikuti Johor sebanyak 165 kes (12.9 peratus) dan Sarawak sebanyak 163 kes (12.7 peratus).
Sebanyak lima kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (2 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (2 kes), dan Kluster Jalan Awang (1 kes).
Dalam perkembangan berkaitan, sembilan kes kematian akibat Covid-19 hari ini melibatkan empat di Selangor dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Terengganu, Perak, Sabah, dan Sarawak.
“Sebanyak lapan kes melibatkan warganegara dan satu kes melibatkan bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette