LAS VEGAS – Bintang Hollywood, Nicolas Cage telah melangsungkan perkahwinannya dengan kekasih muda berusia 26 tahun bernama Riko Shibata dari Jepun.
Ini merupakan perkahwinan kali kelima pemenang Oscar berusia 56 tahun itu.
Daily Mail melaporkan majlis mereka dilangsungkan secara tertutup dan hanya membabitkan ahli keluarga terdekat pasangan tersebut di Wynn Casino and Hotel di Sin City, Las Vegas.
Nicolas juga dilaporkan berkata, berita beliau mendirikan rumah tangga dengan kekasih dari negara matahari terbit itu adalah benar dan mereka kini gembira dalam kehidupannya.
Pengantin perempuan memakai baju tradisi Jepun, kimono berwarna gelap dari Kyoto manakala Cage pula memakai sut hitam Tom Ford Tuxedo.
Selepas itu, isterinya akan menggunakan nama Riko Cage secara rasminya seperti didaftarkan dalam sijil perkahwinan mereka.
Mereka bertemu dan berkenalan setahun lalu di Jepun.
Isteri ketiga Nicolas dan anak lelakinya turut hadir ke majlis perkahwinan tersebut.
Isteri baharunya, Riko adalah 30 tahun lebih muda daripadanya dan empat tahun muda daripada anak sulung Nicolas, Weston Cage.
Sebelum ini Nicolas pernah berkahwin kali keempat dengan gadis Jepun juga bernama Erika Koike pada 23 Mac 2019 namun membatalkan perkahwinannya empat hari kemudian.
Perkahwinan pertama Cage bersama isteri pertamanya, Patricia Arquette pada April 1995 diikuti perkahwinan kedua dengan Lisa Marie Presley disusuli isteri ketiga Alice Kim.- MalaysiaGazette