Home Nasional Tidak perasan lorong motosikal alasan paling popular – JSPT

Tidak perasan lorong motosikal alasan paling popular – JSPT

Anggota Polis dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor menyaman penunggang motosikal yang melanggar undang undang jalan raya ketika operasi motosikal di sekitar laluan Lebuhraya Persekutuan. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2021.

SHAH ALAM – Tidak perasan lorong motosikal merupakan antara alasan paling popular diberikan penunggang motosikal yang menggunakan laluan kereta di Lebuhraya Persekutuan setiap kali operasi dijalankan pihak polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Selangor, Deputi Superintenden Sahimi Husin berkata, alasan tersebut tidak boleh diterima kerana kebanyakan pesalah lalu lintas bukan pengguna baharu di lebuh raya itu.

“Kita tak nampak pun mereka ini baru pertama kali lalu dekat sini, memang kita nampak, rata-rata semua yang kerap menggunakan laluan di sini.

“Alasan paling popular adalah mereka tak perasan keluar masuk laluan motosikal,” katanya ketika ditemui pemberita di Bulatan Malawati, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama 28 anggota termasuk pegawai polis daripada JSPT Kontinjen Selangor menjalankan Operasi Motosikal di Lebuhraya Persekutuan berdekatan Bulatan Malawati, Shah Alam, dari arah Klang bermula jam 7.30 pagi tadi.

Operasi itu dijalankan susulan pihak polis menerima aduan orang ramai terhadap tindakan segelintir penunggang motosikal yang menggunakan laluan utama di Lebuhraya Persekutuan khususnya pada waktu puncak di awal pagi.

Dalam pada itu, dalam operasi selama sejam itu, polis Selangor telah mengeluarkan kira-kira 285 saman kesalahan lalu lintas membabitkan penunggang motosikal.

“Majoriti saman yang dikeluarkan pada pagi ini lebih kepada kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal yang disediakan, manakala dua kes membabitkan kesalahan ubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising,” katanya.

Selain kesalahan lalu lintas, operasi itu juga berjaya menahan seorang penunggang motosikal dipercayai penagih dadah jenis syabu.

“Setakat ini kita berjaya menahan seorang penunggang motosikal, apabila kita buat pemeriksaan kita dapat ada alat-alat menghisap dadah jenis syabu,” jelasnya.

Anggota Polis dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor berjaya menahan seorang penunggang motosikal berikutan menemui dadah semasa membuat pemeriksaan ketika operasi motosikal di sekitar laluan Lebuhraya Persekutuan. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2021.

Ditanya mengenai aduan lorong motosikal rosak, Sahimi bagaimanapun menegaskan tidak semua laluan di sepanjang 45 kilometer (km) Lebuhraya Persekutuan itu rosak sepenuhnya.

“Kalau kita perhatikan dari arah Klang berhampiran dengan Seksyen 7, kita tengok ada pembinaan.

“Tak dinafikan penunggang motosikal terpaksa keluar ikut laluan utama, tetapi di hadapan sudah ada lorong motosikal yang disediakan.

“Kita perhatikan juga ada penunggang-penunggang motosikal yang sedar perkara ini dan dia akan masuk semula ke laluan motosikal.

“Saya andaikan mereka ini mengambil kesempatan dan mewujudkan pelbagai alasan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette