Home Politik UMNO tak halang Pas bekerjasama dengan Bersatu -Tajuddin

UMNO tak halang Pas bekerjasama dengan Bersatu -Tajuddin

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Depot LRT Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2021.

KUALA LUMPUR –  UMNO tidak menghalang Pas untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya akan datang.

Namun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, mungkin terdapat Pas bekerjasama dengan Bersatu tetapi dalam masa yang sama tidak menyusahkan UMNO.

“Memang kita nak bekerjasama dengan Pas. Kalau Pas nak sokong Bersatu itu masalahnya (terpulang). Tapi Pas dengan kita (UMNO) jangan berpecah.

“Mungkin ada formulanya. (Mungkin formulanya) Pas dengan Bersatu tapi Pas tidak menyusahkan UMNO.

“Maksudnya di mana UMNO bertanding, Pas jangan tolong Bersatu bantai kita,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Kumpulan Prasarana pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Depoh LRT Ampang hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional itu berkata, UMNO tidak akan membuat keputusan secara semberono apabila memutuskan untuk tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada masa akan datang.

Ujar beliau, pendirian akan dibuat berdasarkan terdapat usaha untuk ‘mengecilkan’ parti itu.

“Dia tidak tahu masalah. Tuan Ibrahim tolong faham, apa sebabnya UMNO membuat pendirian begitu, mesti ada sebab yang besar.

“Mesti telah difikirkan dengan masak-masak. UMNO tidak akan buat keputusan dengan semberono kata tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

“Sebelum dia nak berikan saranan itu dan ini dia kena faham apa masalahnya. Kalau dia tidak tahu apa masalahnya, apa pun yang dia cakap tidak akan membawa apa-apa kejayaan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa masalah kedua-dua parti itu boleh diselesaikan menerusi perundingan.

Sebelum ini Pas berpendirian akan meneruskan hubungan dan menyokong Bersatu dan UMNO.- MalaysiaGazette

+ posts