Home Dunia Covid-19: Sistem kesihatan Brazil hampir lumpuh

Covid-19: Sistem kesihatan Brazil hampir lumpuh

Seorang doktor merawat pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Rio De Janeiro. foto Reuters

BRASILIA – Sistem kesihatan di kebanyakan bandar terbesar di Brazil hampir lumpuh disebabkan peningkatan kes jangkitan dan kematian Covid-19, lapor institusi Fiocruz.

Institut yang berpusat di Rio de Janeiro mengatakan lebih daripada 80% katil di unit rawatan rapi (ICU) di 25 daripada 27 bandar sudah berpenghuni.

Brazil merekodkan 1,972 kes kematian Covid-19 – rekod harian tertinggi yang baharu.

Brazil juga mencatatkan lebih daripada 266,000 kematian dan 11 juta kes jangkitan sejak wabak itu bermula.

Negara ini merekodkan kes kematian kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat (AS) dan kes ketiga tertinggi.di dunia.

Menurut Fiocruz, 15 negeri telah merekodkan 90% kapasiti ICU termasuk Rio de Janeiro, Brasilia dan São Paulo.

ICU di dua bandar – Porto Alegre dan Campo Grande pula telah melebihi kapasiti.

Fiocruz memberi amaran bahawa angka-angka yang dilaporkan melepasi kapasiti, malah menyebabkan sistem kesihatan lumpuh.

“Kita telah pun tewas dalam pergelutan melawan Covid-19 pada tahun 2020 dan tidak ada sedikit pun peluang untuk membalikkan keadaan tragis ini pada separuh pertama 2021,” kata ahli epidemiologi Fiocruz, Jesem Orellana.

Menurutnya, Brazil kini mengharapkan keajaiban vaksinasi dan perubahan radikal dalam pengurusan pandemik Covid-19.

Minggu lalu para pakar memberitahu akhbar Valor Economic bahawa kes kematian akan melebihi 2,000 sehari tidak lama lagi.

Mereka memberi amaran satu-satunya cara untuk mengelakkan ini berlaku ialah dengan kerajaan mengambil alih koordinasi nasional untuk memerangi virus itu, mengesyorkan sekatan pergerakan, mematuhi penggunaan pelitup muka dan melaksanakan vaksinasi besar-besaran.

Setakat ini lebih daripada lapan juta orang telah menjalani vaksinasi pertama mereka, yang mewakili lebih dari 4% populasi.

Pada hari Selasa, negara ini juga mencatat lebih daripada 70,000 kes, peningkatan 38% pada minggu lalu, menurut media tempatan.

Peningkatan baru-baru ini disebabkan penyebaran varian virus dari Manaus di Amazon. – MalaysiaGazette