Home Nasional Hukuman lebih keras buat pemandu mabuk antara kejayaan MOT

Hukuman lebih keras buat pemandu mabuk antara kejayaan MOT

Transport Minister Datuk Seri Dr Wee Ka Siong MH Malaysia Airlines flight India passenger cargo
Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – Tiada kompromi dalam soal keselamatan, apatah lagi jika melibatkan nyawa pengguna jalan raya. Itu antara tanggungjawab paling penting yang digalas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sejak dilantik ke jawatan tersebut pada Mac tahun lalu.

Hakikatnya jumlah kemalangan jalan raya dan kehilangan nyawa  melibatkan pemandu mabuk semakin meningkat. Tentunya perkembangan ini bukanlah sesuatu yang kecil atau ringan untuk dipinggirkan begitu saja.

Semakin ramai yang meluahkan rasa marah, kecewa malah ada yang melontarkan pelbagai cadangan bentuk hukuman yang perlu dikenakan terhadap pemandu mabuk apatah lagi jika kemalangan itu menyebabkan kehilangan nyawa.

Sebab itu, antara pencapaian penting bagi Ka Siong  sepanjang menerajui Kementerian Pengangkutan sejak setahun lalu adalah kejayaan memuktamad dan merealisasikan pewartaan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan Pindaan 2020 dalam membendung penularan pemandu mabuk di negara ini.

Pencapaian Kementerian Pengangkutan sepanjang Setahun Malaysia Prihatin di bawah Perikatan Nasional.

“Kita dikejutkan dengan banyak perkara termasuklah pemanduan mabuk, menyebabkan ada anggota polis terbunuh, kemalangan di mana pemandu mabuk telah membawa padah kepada orang lain.

“Pada 4 Mei tahun lalu, apabila saya melawat kawasan MRT sempena pembukaan semula sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, pada hari itu juga saya dikejutkan di mana seorang anggota polis dilanggar oleh pemandu.

“Ini bukan satu perkara terpencil malah ia telah berlaku secara kerap dan sebelum itu juga ada yang mengatakan kita patut perketatkan undang-undang,” katanya dalam sidang media khas sempena Setahun Malaysia Prihatin di bawah kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mengakui pada mulanya beliau menerima pelbagai rayuan dan tekanan daripada pelbagai pihak untuk meminda akta dan hukuman sedia ada kepada lebih berat bagi mengekang jenayah ini.

“Ketika itu kita telah membuat rundingan, seramai 345,021 orang telah mengambil bahagian melalui dalam talian di mana 94 peratus berkata sudah sampai masanya kerajaan untuk mengambil tindakan, iaitu meminda akta ini.

“Pada masa itu, saya terus meminta pegawai saya dalam tempoh 100 hari pertama, kita mesti membentangkan satu kertas atau memorandum Jemaah Menteri untuk memuktamadkan apa juga pindaan dan bawa ke Parlimen.

“Akhirnya kita telah berjaya, apa yang kita buat ialah bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan juga memandu secara berbahaya, semua dikenakan tindakan yang lebih tegas,” jelasnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam sidang di lobi Parlimen Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2020.

Sebaik sahaja pindaan akta sedia ada berjaya dibuat, Ka Siong turut menerima desakan pihak yang tidak berpuas hati hukuman penjara yang diperkenalkan itu terlalu berat namun akhirnya ia diterima baik masyarakat.

“Saya melihat perkara ini dapat kita wartakan secara serta-merta. Kita mampu mengurangkan gejala sebegini iaitu pemanduan mabuk, kedua di bawah pengaruh dadah dan ketiga memandu secara melulu.

“Ini sebagai satu contoh kita kena tegas dalam tindakan yang berani dan sehingga ini kalau di bawah pengaruh dadah, memandu secara berbahaya ataupun dalam keadaan mabuk mereka akan dipenjarakan,” katanya.

Ka Siong juga menegaskan pendirian kerajaan bahawa mengetatkan undang-undang berkaitan pemandu mabuk tidak bermakna individu bukan Islam dilarang sama sekali mengambil minuman beralkohol seperti mana yang dibimbangi oleh sesetengah pihak.

Katanya, kerajaan sentiasa peka dengan sensitiviti rakyat dan setiap keputusan yang dilaksanakan sentiasa diimbangi dengan kewajaran, justeru undang-undang menetapkan mereka yang mengambil minuman memabukkan perlu menggunakan pengangkutan awam.

Langkah itu bertujuan memastikan kebenaran yang diberi oleh kerajaan itu tidak mencetuskan malapetaka termasuk mengakibatkan kemalangan maut.

“Saya telah mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat seperti E-Hailing, mereka kata sedia untuk menawarkan perkhimatan (bawa penumpang mabuk) jadi ini juga menambah hasil mereka.

“Mereka boleh lagi mengambil arak tetapi masing-masing kena bertanggungjawab kalau mabuk, (keadaan) itu memang tidak boleh memandu, kita jelas dalam soal ini tiada isu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette