Home Nasional Janda dan kekasih ditahan miliki dadah

Janda dan kekasih ditahan miliki dadah

Janda dan kekasih ditahan miliki syabu dan pil Eramin 5 dalam sekatan jalan raya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang janda dan kekasihnya ditahan polis selepas didapati memiliki dadah ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini awal pagi tadi.

Pasangan berusia 25 dan 28 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z kira-kira jam 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan pihak polis menemui tujuh paket syabu seberat 14.91 gram dan 12 biji pil Eramin 5 dalam beg silang yang dibawa mereka.

 

Antara dadah yang dirampas dalam miliki dua suspek berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek lelaki tersebut positif syabu serta memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Semakan ke atas suspek wanita pula mendapati dua rekod lampau berkaitan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek mengaku dadah itu adalah milik mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette