Home Nasional KSM cadang naikkan kadar caruman Perkeso, lindungi pekerja terkesan Covid-19

KSM cadang naikkan kadar caruman Perkeso, lindungi pekerja terkesan Covid-19

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bercakap pada msidang media ajlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kementerian Pembangunan Usahawanan dan Koperasi (MEDEC) di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) dijangka menaikkan kadar bayaran caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada kadar minimum dan tidak membebankan pencarum.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan berkata, kadar serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan itu tidak pernah dinaikkan sejak 1971 ketika Perkeso ditubuhkan.

“Sebelum ini kementerian ada mengkaji untuk menaikkan kadar caruman Perkeso, sedangkan jumlah sumbangan ketika ini semakin meningkat sejak pandemik Covid-19.

“Kenaikan kadar bayaran caruman itu tidak banyak, kementerian cadang antara RM1 hingga RM2 sebulan sahaja, dan ia tidak menyusahkan pencarum,” katanya pada sidang media di Le Meridien Hotel, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KSM dan Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC).

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menurut Saravanan, ketika ini kira-kira 2.7 juta pekerja tempatan yang mendapat manfaat daripada skim itu termasuk bayaran pampasan bagi kemalangan semasa ulang alik dari rumah ke tempat kerja dan Sistem Insurans Pekerja.

“Setakat ini Perkeso sudah melindungi 20 sektor membabitkan 93,000 pencarum di seluruh negara.

“Semua sektor sepatutnya dilindungi, semua orang perlu dilindungi di bawah Perkeso,” katanya.

Beliau tidak menafikan kebanyakan rakyat yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19 tidak mempunyai jaringan keselamatan dan tidak dilindungi Perkeso.

“Kebanyakan rakyat Malaysia berpendapatan rendah tidak dilindungi Perkeso.

“Mereka salah tanggapan kononnya Perkeso hanya melindungi kemalangan sahaja, itu tak benar, bahkan kita lindungi lebih daripada itu,” katanya.

Katanya lagi, Perkeso kini melindungi golongan usahawan dan paling banyak terkesan semasa Peritnah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sektor tidak formal.

“Kalau boleh saya nak galakkan semua warganegara untuk mencarum dengan Perkeso kerana ia satu-satu produk keselamatan sosial terbaik kepada negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette