KUALA LUMPUR – Kerajaan mensasarkan untuk menarik pelaburan yang berkualiti tinggi daripada segi teknologi dan keperluan tenaga kerja.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sasaran itu memerlukan dasar atau polisi baharu khususnya yang melibatkan usaha mengurangkan keperluan tenaga kerja asing.
“Pelaburan berkualiti tinggi ini adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi a high income nation, ekonomi yang berdaya saing dan mengurangkan kebergantungan kepada keperluan tenaga kerja asing,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan sempena Ulang Tahun Perkhidmatan Azmin dalam MITI hari ini.
Terdahulu beliau berkata, Malaysia tetap menjadi destinasi pelabur yang terpilih pada tahun 2020.
“Malaysia telah mencatatkan sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama. Sektor perkilangan turut cemerlang dengan peningkatan 10.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pelaburan yang dilulus sebanyak RM91.3 bilion untuk tahun 2020,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, prestasi perdagangan luar juga menyumbang dalam memberikan keyakinan kepada negara untuk terus memperkukuh dan mencerdaskan ekonomi dalam jangka panjang.
Mengulas lanjut ketika sidang media, Azmin berkata, polisi baharu untuk menarik lebih pelaburan berkualiti tinggi memerlukan beberapa inisiatif baharu.
Justeru itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ujarnya, akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) terlebih dahulu sebelum memperkenalkan beberapa insiatif baharu.
“Berdasarkan perbincangan kami dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), MIDA dengan MITI perlu berbincang terlebih dahulu dengan MOF mengenai inisiatif baharu untuk menarik lebih banyak pelabur ke Malaysia.
“Sudah tentulah kita nak memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan pelaburan dalam negara,” tambah beliau. -MalaysiaGazette