Home Politik UMNO KIV dulu isu pertembungan kerusi dengan PPBM demi Pas

UMNO KIV dulu isu pertembungan kerusi dengan PPBM demi Pas

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Isu kemungkinan wujud pertembungan kerusi antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak menjadi keutamaan pada masa ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan sebaliknya isu pertembungan itu diletakkan dalam status ‘Simpan Dalam Perhatian (KIV) buat sementara waktu susulan Pas konsisten menjalinkan hubungan politik dengan PPBM.

“Antara UMNO dan Pas itu kita harap tidak ada pertembungan tetapi antara UMNO dengan Bersatu itu kita KIV dulu, setakat ini memanglah tidak ada hubungan dengan PPBM.

“Jadi dia dua perkara boleh kita rungkaikan kemudian. Walau bagaimanapun yang penting di antara Pas dan UMNO itu tiada pertembungan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato’ Onn, malam ini.

Beliau mengulas kemungkinan UMNO mahu memberi kata dua kepada Pas sama ada memilih untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan PPBM atau meneruskan agenda memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Dalam pada itu, UMNO menghormati pendirian dan keputusan Pas untuk kekal dalam PN dan bersama PPBM bagi menghadapi PRU15 akan datang.

“Itu terpulang kepada Pas untuk bersama PN, mereka telah buat pilihan itu, mereka bersama dengan parti PN, UMNO pula bersama dengan parti BN.

“Itu adalah hak Pas untuk bersama dengan Bersatu itu tiada kaitan dengan UMNO yang ingin memperkuatkan hubungan dengan Pas,” katanya.

Ahmad juga meletakkan keyakinan tinggi bahawa hubungan Pas dengan PPBM yang baru setahun jagung itu tidak akan menjejaskan kerjasama politik dalam MN.

“Hubungan UMNO dengan Pas ini bermula awal lagi, ia sudah bermula sejak 2018, 2019 dan kita juga sudah memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

“Jadi hubungan Pas dengan UMNO ini sudah bermula lebih awal daripada hubungan Pas dengan PPBM dalam PN.

“Jadi tiada sebab kenapa kami perlu memberi kata dua atau seumpamanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette