Home Dunia Suami masih cari isterinya yang hilang akibat tsunami 2011

Suami masih cari isterinya yang hilang akibat tsunami 2011

Selama tujuh tahun, lelaki berusia 64 tahun itu masih menyelam setiap minggu demi mencari jasad isterinya yang terkorban akibat tsunami pada tahun 2011 di Jepun. foto agensi.

TOKYO – Sedekad berlalu namun seorang suami masih menaruh harapan dapat menemui jasad isterinya yang hilang dalam tsunami yang berlaku pada 11 Mac 2011.

Yasuo Takamatsu, 64, kehilangan isterinya, Yuko apabila gempa bumi Tohoku sekuat 9.0 Richter melanda Jepun sekaligus mencetuskan tsunami.

Dalam kejadian itu, ombak setinggi lebih daripada 15 meter membadai pelabuhan Onagawa yang terletak di wilayah Miyagi menyebabkan 827 kematian.

Kejadian itu menyebabkan hampir 10 peratus penduduk bandar tersebut maut manakala 70 peratus bangunan musnah.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian, Takamatsu telah mendapatkan lesen menyelam untuk mencari isterinya yang hilang.

Difahamkan, selama tujuh tahun Yasuo telah menyelam sebanyak 470 kali bahkan menyelam setiap minggu demi mencari jasad Yuko.

“Saya akan menyelam seperti saya akan bertemu dengannya di satu tempat. Saya sering berfikir beliau mungkin berada di kawasan berhampiran.”

“Selagi hayat di kandung badan, saya akan mencari jasad Yuko,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Associated Press.

Sepanjang pencariannya, Takamatsu telah menemui album, pakaian dan artifak ketika menyelam namun bukan jasad isterinya. – MalaysiaGazette