Home Nasional 3 peratus warga PDRM tidak mahu divaksin atas alasan berpenyakit

3 peratus warga PDRM tidak mahu divaksin atas alasan berpenyakit

Abdul Hamid Bador

IPOH – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tiga peratus warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak untuk menerima vaksin Covid-19 atas alasan berpenyakit.

Katanya, insiden enggan menerima suntikan vaksin itu membabitkan polis Kelantan, Kedah dan Perak.

“Selaku ketua dalam PDRM saya berusaha memberikan keterangan berhubung kebaikan vaksin kepada anak buah di bawah kecuali atas nasihat pihak kesihatan mereka berisiko sekiranya menerima suntikan itu.

“Setakat ini, lebih 95 peratus warga PDRM setuju menerima vaksin dan tiga peratus saja menolak, itu pun atas alasan berpenyakit serta hamil.

“Kalau ada anggota bagi alasan tok guru, pendeta tak benarkan atau ikut ajaran sesat saya akan keluarkan mereka dari PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa polis di Kelantan enggan menerima vaksin Covid-19.

Semalam, polis Kelantan mengesan segelintir pegawai dan anggotanya yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya akan memanggil golongan terbabit untuk bersemuka dan mendengar alasan berikutan keengganan itu.

Beliau berkata, pegawai dan anggota polis tidak seharusnya terpengaruh dengan perkara negatif mengenai vaksin Covid-19, sebaliknya perlu menjadi contoh kepada orang awam.

“Saya dapat tahu ada dalam kalangan pegawai dan anggota polis yang tersenarai sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 enggan disuntik dan akan panggil mereka untuk tahu masalah yang dihadapi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette