COPENHAGEN – Pihak berkuasa kesihatan Denmark, Norway dan Iceland menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca Covid-19 berikutan laporan berlaku darah beku ke atas individu.
Austria sebelumnya berhenti menggunakan vaksin AstraZeneca bagi menyiasat kematian akibat gangguan darah beku dan penyakit akibat emboli paru-paru.
Meskipun begitu, pengawas selia perubatan Eropah, EMA masih mendakwa manfaat vaksin itu melebihi risiko dan boleh terus digunakan.
Eropah sedang berusaha untuk mempercepat pelaksanaan vaksinasi setelah penundaan penghantaran daripada Pfizer dan AstraZeneca, walaupun berlaku lonjakan kes di tengah-tengah varian virus yang lebih mudah menular telah mencetuskan penutupan baharu di negara-negara seperti Itali dan Perancis.
Denmark menangguhkan penggunaan vaksin ini selama dua minggu setelah seorang wanita berusia 60 tahun, yang diberi AstraZeneca dari kumpulan yang sama digunakan di Austria, mengalami darah beku dan meninggal dunia, kata pihak berkuasa kesihatan Denmark.
Susulan itu, penggunaan vaksin ini ditangguhkan selama 14 hari di Denmark.
“Ini adalah keputusan berhati-hati,” kata Geir Bukholm, Pengarah Pencegahan dnaa Kawalan Jangkitan di Institut Kesihatan Awam (FHI) Norway.
Bagaimanapun, FHI tidak menyatakan berapa lama penggunaan vaksin ini digantung.
“Kami menunggu untuk melihat jika ada kaitan antara vaksin dan kes ini dengan pembekuaan darah,” tambah Bukholm.
Iceland pada hari Khamis juga menangguhkan penggunaan vaksin tersebut sementara menunggu hasil penyelidikan oleh EMA.
Itali, juga akan menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca yang berbeza dengan yang digunakan di Austria. – MalaysiaGazette