KUALA LUMPUR – Polis menafikan kononnya individu yang dikompaun sebanyak RM10,000 dalam pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah restoran di Bukit Jalil semalam telah mendaftar diri melalui mana-mana saluran yang disediakan oleh pengusaha premis.
Penafian itu dibuat Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.
Beliau mengesahkan individu berkenaan dikompaun kerana kesalahan tidak mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar yang disediakan oleh pekedai sepertimana yang diperuntukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
Oleh itu, mana-mana individu yang melanggar SOP yang ditetapkan boleh dikompaun sebanyak RM10,000.
Mulai semalam, kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19 berbanding RM1,000 sebelum ini.
Menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.
Selain itu, orang ramai yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.
Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong yang berpuas hati tindakan serta-merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, 11 Januari lalu. – MalaysiaGazette