Home Ekonomi IPP berkembang 1.2% pada Januari 2021

IPP berkembang 1.2% pada Januari 2021

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) berkembang 1.2 peratus pada bulan Januari 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya dipacu oleh peningkatan 3.5 peratusĀ  indeks pembuatan.

Indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menguncup 4.5 peratus dan 4.6 peratus, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 3.5 peratus pada bulan Januari 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.1 peratus pada bulan Disember 2020.

Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Januari 2021 adalah produk peralatan elektrik & elektronik (7.9%), produk petroleum, kimia, getah & plastik (4.5%) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas &
percetakan (2.4%).

Industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 4.6 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 1.5 peratus.

Output sektor perlombongan menguncup 4.5 peratus pada bulan Januari 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah & kondensat (-9.4%) serta
indeks gas asli (-0.5%).

Manakala output sektor elektrik menyusut 4.6 peratus pada bulan Januari 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette